Isnin, 8 Jun 2020 | 11:23am
Klopp (kanan) merasakan ia salah daripada segi moral sekiranya Liverpool berbelanja besar untuk mendapatkan Timo Werner.
Klopp (kanan) merasakan ia salah daripada segi moral sekiranya Liverpool berbelanja besar untuk mendapatkan Timo Werner.

Klopp lepas Werner kerana moral

LIVERPOOL: Jurgen Klopp merasakan ia salah daripada segi moral sekiranya Liverpool berbelanja besar untuk mendapatkan Timo Werner.

Bakal juara itu dalam kedudukan terbaik untuk menandatangani penyerang RB Leipzig berkenaan, yang kini sedia menyertai Chelsea pada harga 54 juta pound (RM292.9 juta).

"Semua kelab dalam kerugian. Bagaimana saya boleh bercakap dengan pemain tentang pemotongan gaji tetapi pada masa sama membeli pemain pada harga 50 hingga 60 juta pound - kami perlu menjelaskannya," kata Klopp.

Liverpool bakal kehilangan 150 juta pound (RM813.5 juta) akibat perintah berkurung COVID-19 dan memutuskan untuk menarik diri daripada persaingan merebut Werner.

"Jika anda mahu menjalankan perniagaan yang betul, ia bergantung kepada pendapatan.

"Dan kami tidak tahu bagaimana pendapatan kelab nanti - terutama kerana kami tidak tahu bila kami akan dapat bermain di hadapan penonton semula.

"Buat masa sekarang, tanpa penonton, kami perlu membayar semula tiket bermusim dan mungkin tiada jualan langsung tahun depan. Mungkin untuk 10 hingga 15 perlawanan pertama.

"Ruang VIP akan kosong dan tiket tidak akan dijual," katanya. - AGENSI

Berita Harian X