Jumaat, 12 Jun 2020 | 11:16am
Luqman Hakim Shamsudin.
Luqman Hakim Shamsudin.

FAS lepas Luqman secara percuma

KUALA LUMPUR: "Jangan risau, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan lepaskan Luqman (Hakim Shamsudin) secara percuma."

Itu pengesahan Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar ketika diminta mengulas mengenai isu penyerang muda sensasi negara itu yang mendapat panggilan daripada kelab Belgium, KV Kortrijk untuk menyertai mereka, minggu hadapan.

Shahril menegaskan meskipun bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu memiliki kontrak bersama Selangor namun pihaknya tidak berdepan sebarang masalah melepaskannya bagi melebarkan sayap ke luar negara.

"Kita tidak akan menghalang Luqman mengembangkan bakatnya ke luar negara. Kita memang tiada masalah melepaskan Luqman pergi menimba pengalaman di sana.

"Namun buat masa ini, perbincangan bersama Luqman membabitkan perkara ini (pergi ke Eropah) perlu dilakukan. Tetapi ini sebenarnya lebih kepada penelitian semula kontrak yang ditandatangani Luqman bersama kita sebelum ini.

"Luqman pun tahu mengenai terma dan klausa yang termaktub dalam perjanjian itu. Apa yang boleh saya katakan, ia untuk menjaga kepentingan Luqman dan demi kebaikan bersama.

"Ini sebab dia umpama pelaburan buat kita dan dia juga aset kepada bola sepak negara. Dia masih muda dan perjalanannya masih jauh, jadi kita perlulah melindungi perjalanan kariernya.

"Beberapa terma inilah yang perlu dipersetujui semua pihak dalam perbincangan ini. Kita memang bersetuju, jadi kita mengharapkan KV Kortrijk pun dapat memahaminya. Apapun setakat ini, kita boleh melepaskannya tanpa sebarang bayaran," katanya.

Sebagai rekod, Luqman sebelum ini ditawarkan kontrak bermain dengan KV Kortrijk oleh pemilik kelab itu yang juga usahawan terkemuka dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan pada September lalu dan akan menyertai kelab itu pada bulan Mac apabila usianya genap 18 tahun.

Mengikut perancangan, dia akan terlebih dahulu menjalani latihan tiga bulan di Cardiff City bermula Disember lalu dan kemudiannya terbang ke Belgium namun beberapa isu yang timbul menyebabkan perancangan berkenaan terbantut.

Pertama dia gagal terbang ke Cardiff City kerana masalah visa pada Disember 2019 dan kemudiannya disebabkan COVID-19, Februari lalu.

Berita Harian X