Ahad, 21 Jun 2020 | 12:14am
Neal Maupay (tengah) menjaringkan gol kemenangan Brighton ketika menentang Arsenal. - Gambar AFP
Neal Maupay (tengah) menjaringkan gol kemenangan Brighton ketika menentang Arsenal. - Gambar AFP

Arsenal tumbang lagi

BRIGHTON: Arsenal gagal bangkit daripada kekalahan kepada Manchester City apabila sekali lagi tumbang, kali ini di tangan Brighton 2-1 pada aksi di Stadium Falmer, sebentar tadi.

Jaringan Neal Maupay pada minit kelima masa tambahan babak kedua sudah cukup buat Brighton meraih mata penuh sekali gus bangkit daripada ketinggalan menerusi gol awal Nicolas Pepe.

Tiada jaringan dapat dihasilkan pada babak pertama dan The Gunners bermula garang pada babak kedua apabila hantaran Bukayo Saka disudahkan Pierre Emerick Aubameyang pada minit ke-52.

Namun, skuad kendalian Mikel Arteta hampa selepas jaringan itu dibatalkan apabila semakan semula menerusi Pembantu Pengadil Video (VAR) mendapati penyerang itu berada dalam keadaan ofsaid.

Gol yang dinanti hadir pada minit ke-68 menerusi penyudah cantik Pepe yang melencongkan bola melepasi kawalan Matthew Ryan pada minit ke-68.

Bagaimanapun, kegembiraan Arsenal hanya bertahan lapan minit apabila keadaan kelam kabut di hadapan gawang mereka membolehkan Lewis Dunk menampan masuk.

Walaupun bola berjaya dikeluarkan namun Hawkeye mengesahkan jaringan terbabit buat Brighton dan jaringan lewat Maupay memastikan Arsenal pulang dengan tangan kosong. - Agensi

Berita Harian X