Ahad, 21 Jun 2020 | 7:46am
Reaksi Pengurus Arsenal, Mikel Arteta ketika pasukan bimbingannya menentang Brighton and Hove Albion dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto AFP
Reaksi Pengurus Arsenal, Mikel Arteta ketika pasukan bimbingannya menentang Brighton and Hove Albion dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto AFP

Saya tak boleh terima kekalahan ini - Arteta

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kekalahan 1-2 di tangan Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Pada aksi itu, The Gunners yang mendahului perlawanan menerusi jaringan Nicolas Pepe terpaksa 'gigit jari' apabila Lewis Dunk dan Neal Maupay mencetuskan kebangkitan Brighton dengan masing-masing meledak satu gol bagi memastikan tiga mata dikutip di laman sendiri.

Kekalahan menyaksikan Arsenal sekadar berada di tangga ke-10 liga dengan hanya mengumpul 40 mata selepas mengharungi 30 perlawanan, enam mata di belakang penghuni tangga kelima, Manchester United.

"Saya sangat kecewa," kata Arteta.

"Cara kami tewas dalam perlawanan ini adalah sesuatu yang sukar diterima. Kami melepaskan banyak peluang untuk menjaringkan gol dan kami tidak bersaing untuk gol kedua."

Sebelum saingan liga ditangguhkan susulan pandemik COVID-19, Arsenal menang tiga perlawanan berturut-turut sekali gus mencerahkan peluang untuk ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun, selepas tewas kepada Manchester City pada aksi pertengahan minggu dan kini Brighton, peluang semakin tipis buat The Gunners untuk ke saingan utama Eropah itu. - AFP

 

 

 

Berita Harian X