Selasa, 23 Jun 2020 | 12:41pm
PEMAIN Arsenal, Matteo Guendouzi (kanan) bertegang leher dengan pemain Brighton, Neal Maupay. - Foto AFP
PEMAIN Arsenal, Matteo Guendouzi (kanan) bertegang leher dengan pemain Brighton, Neal Maupay. - Foto AFP

Guendouzi terlepas digantung 3 perlawanan

LONDON: Bintang Arsenal Matteo Guendouzi terselamat daripada digantung tiga perlawanan selepas dia mengasari pemain Brighton Neal Maupay.

Pemain tengah Perancis berusia 21 tahun itu menarik leher bintang Seagulls berkenaan selepas tamat permainan di The Amex Sabtu lalu, di mana Arsenal tewas 2-1.

"Perbuatan Matteo Guendouzi dalam insiden ini tidak dilihat oleh pegawai perlawanan ketika itu, tetapi ia dikesan oleh VAR selepas itu, jadi dia tidak akan dikenakan tindakan," kata Persatuan Bolasepak Inggeris.

Pengadil Martin Atkinson berada tidak jauh ketika Guendouzi mengasari Maupay selepas wisel penamat ditiup.

Bagaimanapun Atkinson tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kekasaran yang sepatutnya mendapat layangan kad merah itu.

Penjaga gol Arsenal Bernd Leno terpaksa diusung keluar selepas bertembung dengan Maupay di akhir babak pertama.

Insiden itu dikatakan mencetus kemarahan Guendouzi yang mensasarkan Maupay - penjaring gol kemenangan dalam masa kecederaan.

"Beberapa pemain Arsenal perlu belajar menerima kenyataan. Mereka banyak cakap, terutama seorang daripada mereka.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku terhadap Bernd Leno, saya tidak berniat menyakitinya. Saya harap dia segera sembuh," kata Maupay. - AGENSI

Berita Harian X