Isnin, 29 Jun 2020 | 3:33pm
PEMAIN Arsenal, Mesut Ozil.
PEMAIN Arsenal, Mesut Ozil.

Peminat tidak percaya Ozil cedera

LONDON: Mesut Ozil sekali lagi tidak tersenarai dalam skuad hari perlawanan Arsenal - tetapi peminat Gunners merasakan ada yang tidak kena.

Menjelang pertemuan Piala FA dengan Sheffield United, sosial media Arsenal mendedahkan bintang Jerman itu tidak akan memainkan peranan.

Ozil dikatakan tidak mengikuti latihan pada Sabtu kerana kecederaan belakang, masalah yang sering berulang sepanjang tiga musim lalu.

Perancang itu, yang dikaitkan dengan perpindahan keluar sebaik kontraknya tamat, masih belum beraksi sejak liga bersambung pada 17 Jun.

Dia hanya tersenarai sebagai pemain simpanan dalam dua daripada empat perlawanan tetapi tidak dimasukkan.

"Untuk seseorang yang tidak mempunyai tulang belakang, belakangnya pasti akan sering cedera," kata salah seorang peminat Gunners Atul Vechem.

"Cukup-cukuplah berbohong, dia sudah merompak gaji Arsenal selama dua tahun," kata salah seorang peminat fanatik.

Awal minggu ini Chris Sutton melepaskan geram kepad Ozil.

"Saya langsung tidak bersimpati terhadap Arsenal. Saya kasihankan peminatnya, pada Arteta. Dia (Ozil) amat mengecewakan.

"Arteta menyelar sikapnya ketika latihan. Gajinya 350,000 pound (RM1.85 juta) seminggu. Dia cukup memalukan, dia perlu beri lebih kepada Arteta.

"Ozil seperti bau yang busuk dalam kelab. Dia adalah mimpi ngeri Arteta. Seorang yang menerima besar di kelab tetapi tidak komited.

"Ozil berhutang kepada Arsenal lebih besar daripada apa yang dia berikan," kata Sutton, bekas pemain dan pengurus. - AGENSI

Berita Harian X