Selasa, 30 Jun 2020 | 9:16am
Pertahanan Burnley, Ben Mee (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menyumbat gol ketika bertemu Crystal Palace. - Foto AFP
Pertahanan Burnley, Ben Mee (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menyumbat gol ketika bertemu Crystal Palace. - Foto AFP

Mee akhiri kemarau jaringan

LONDON: Kapten Burnley Ben Mee meraikan penampilan ke-300 untuk kelab dengan meledak gol tunggal dalam kemenangan 1-0 di Crystal Palace.

Kemenangan itu melonjak Burnley ke tangga kelapan Liga Perdana Inggeris dan skuad kendalian Sean Dyche kini menyamai kutipan mata Tottenham Hotspur untuk terus menghidupkan peluang memburu tiket ke kejohanan Eropah.

Seminggu selepas dimalukan penyokong sendiri yang mengibarkan mesej "White Lives Matter Burnley" yang disusuli dengan kekalahan 5-0 kepada Manchester City di Stadium Etihad, Mee bangkit dengan persembahan membanggakan di Selhurst Park.

Mee menamatkan penantian tiga tahun untuk menjaringkan gol pada minit ke-62 apabila menanduk sepakan percuma Ashley Westwood.

Penjaga gol Palace Vicente Guaita sekadar dapat menepis lemah tandukan Mee yang menjadi gol tunggal perlawanan.

"Saya berbesar hati dengan maklum balas diterima susulan temuramah itu.

"Kelab juga menerima banyak emel. Ia bukan malam yang bagus buat kami tetapi kami bangkit dengan meraih dua kemenangan," kata Mee.

Kekalahan menyaksikan Palace tergelincir ke tangga ke-11 tetapi anak buah Roy Hodgson masih mempunyai jurang 15 mata di atas zon penyingkiran dengan enam perlawanan berbaki. - AFP

Berita Harian X