Selasa, 30 Jun 2020 | 1:30pm
Presiden PFAM, Safee Sali. - Foto Asyraf Hamzah
Presiden PFAM, Safee Sali. - Foto Asyraf Hamzah

Pemain tolak gaji siling

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tidak bersetuju sekiranya had gaji siling pemain diperkenalkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Presidennya, Safee Sali menjelaskan pemain berhak mendapat gaji yang ditawarkan pasukan dan setaraf dengan prestasi dan sumbangan mereka.

Beliau menganggap, aspek gaji juga menjadi antara faktor yang mampu mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemain, sekali gus memberi impak positif buat skuad kebangsaan.

"Bagi pemain kita tak setuju sebab benda ini membabitkan profesionalisme, siapa yang beraksi dalam prestasi terbaik mesti diberi gaji yang lumayan. Tiada had siling berapa maksimum kena bayar.

"Saya lihat kalau pemain bersaing antara satu sama lain, masing-masing nak menunjukkan prestasi yang bagus, itu akan memberi kesan kepada pasukan kebangsaan.

"Kalau ada had gaji siling (pemain akan fikir), kalau beraksi dengan baik pun setakat itu juga gaji. Jadi kami tak setuju," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Kelmarin, pemerhati bola sepak, Mohd Sadek Mustaffa menyarankan pasukan khususnya yang tenat dari segi kewangan supaya mempertimbangkan untuk memperkenalkan had gaji siling ataupun skim gaji kepada pemain bermula musim hadapan dan sekurang-kurangnya digunakan bagi dua musim.

Jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu, pengurusan perlu sensitif terhadap isu ekonomi ketika ini apatah lagi kitaran perniagaan di seluruh dunia menjangkakan ekonomi di negara yang berstatus hijau hanya dapat pulih dalam tempoh 24 hingga ke 36 bulan.

Mengulas mengenai tangga gaji yang dirasakan wajar untuk dicadangkan kepada pasukan, Sadek meletakkan siling RM30,000 sebagai had maksimum buat sesuatu pasukan namun mereka boleh menetapkan beberapa tangga gaji mengikut kategori yang sesuai.

Selain itu, Safee berkata isu tunggakan gaji tidak akan timbul sekiranya semua pasukan bijak menguruskan kewangan mengikut kemampuan.

"Memang isu tunggakan gaji harus diselesaikan dengan kadar yang segera. Tapi saya rasa dengan had siling gaji bukan satu cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya.

Berita Harian X