Selasa, 30 Jun 2020 | 6:49pm

Rumah mengaji Azmeer mula dibuka esok

KUALA LUMPUR: Bekas pertahanan Kedah, Azmeer Yusof mengesahkan rumah mengaji yang diusahakannya akan mula dibuka, esok.

Justeru, pemain berusia 30 tahun itu mempelawa orang ramai untuk datang ke rumah mengajinya yang terletak di Alor Setar, Kedah.

"Muslimin dan muslimat boleh tetapkan masa sendiri jam berapa nak datang. Saya akan minta ustaz tunggu di rumah mengaji mengikut masa yang tuan puan tetapkan untuk hadir.

"Rumah mengaji saya percuma kepada semua orang. Yang nak bermula dengan Iqra' pun dijemput datang. Al-Quran dan tempat wuduk saya sudah sediakan," katanya di Instagram miliknya, hari ini.

Pada 25 Jun lalu, Azmeer membuat kejutan apabila mengumumkan keputusannya menamatkan kontrak bersama Helang Merah.

Dia yang pernah beraksi dengan beberapa pasukan termasuk Kuala Lumpur dan ATM itu menjelaskan keputusan diambil bukan kerana masalah gaji, tetapi mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan yang diusahakan.

Azmeer bagaimanapun menegaskan tindakan mengundur diri dari skuad Helang Merah hanya untuk dia berehat seketika dan bukannya mahu bersara terus dari arena bola sepak.

Berita Harian X