Khamis, 2 Julai 2020 | 8:36pm
Aksi antara Liverpool dan Manchester City sebelum ini.
Aksi antara Liverpool dan Manchester City sebelum ini.

City kena 'tunduk hormat' Liverpool

LONDON: Buat pertama kalinya dalam tempoh 10,650 hari, Liverpool akan tampil selaku juara England apabila mereka bertemu Manchester City di Stadium Etihad, jam 3.15 pagi ini.

Ketika perlawanan itu menjadi aksi pertama selepas mereka menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL), City yang juga juara musim lalu terpaksa memberi 'tunduk hormat' kepada The Reds sebelum bermulanya perlawanan.

Liverpool tampak enggan mencicirkan sebarang mata dengan Jurgen Klopp memberi amaran kepada pasukan lain betapa mereka tidak akan berhenti walaupun sudah mengesahkan satu-satunya kejuaraan yang boleh dirangkul mereka musim ini.

City juga tidak akan berhenti di mana Pep Guardiola mengakui tumpuan kini diberikan kepada pertandingan lain selepas 'kempunan' EPL, namun tiga trofi masih boleh menjadi rebutan mereka iaitu Piala Liga, Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Dengan 'tunduk hormat' yang bakal diberikan, ia sudah tentu memberi lebih insentif kepada City untuk menundukkan Liverpool selain menyekat lawan daripada cuba memecahkan rekod pungutan mata dan kemenangan terbanyak milik mereka sebelum ini.

Namun, City mungkin berdepan tugas sukar, apatah lagi Liverpool setakat ini hanya keciciran mata dalam tiga perlawanan dan kehilangan dua mata daripada 10 perlawanan menentang pasukan dalam kelompok tujuh terbaik serta menang semua enam perlawanan menentang pasukan dalam lima kelompok teratas ketika ini.

Manakala, tujuh daripada lapan kekalahan City musim ini hadir dalam 11 perlawanan menentang pasukan tujuh terbaik liga yang menyaksikan mereka hanya menang tiga perlawanan.

Bagaimanapun, City mungkin boleh mengharapkan rekod buruk Liverpool di tempat lawan apabila mereka gagal menang dan menyumbat gol dalam empat perlawanan di tempat lawan bagi semua pertandingan sejak 15 Februari lalu.

Liverpool tidak pernah gagal meraih kemenangan dalam lima perlawanan di tempat lawan di bawah kendalian Klopp namun rekod City yang memenangi enam dan tidak tewas dalam tujuh perlawanan terdahulu di Etihad boleh menjadi cabaran terbesar buat Liverpool. -Agensi

INFO

Rekod sudah dipecahkan Liverpool

1. Permulaan terbaik selepas mengutip 61 mata daripada 21 perlawanan pertama dan seterusnya memenangi enam lagi aksi untuk mengutip 79 mata daripada 27 perlawanan pertama sebelum tewas di tangan Watford.

2. Liverpool pernah mendahului 25 mata yang mana menjadi kelebihan terbesar dalam sejarah divisyen utama England.

3. Rekod kemenangan terbanyak berturut-turut di laman sendiri apabila kini mereka memenangi 23 aksi berturut turut untuk memintas rekod kemenangan 20 perlawanan dicatat Manchester City sebelum ini.

4. Dengan baki tujuh perlawanan, Liverpool muncul pasukan paling awal mengesahkan kejuaraan memintas rekod terdahulu dengan lima perlawanan (Manchester United 2000/01 dan Manchester City 2017/18).

Embed from Getty Images

Rekod yang boleh dileburkan Liverpool

1. Rekod kemenangan terbanyak di laman sendiri Buat masa ini, rekod ini dipegang Chelsea, Manchester United dan Manchester City yang memenangi 18 perlawanan di tempat sendiri dalam satu musim. Liverpool kini menang 16 perlawanan dan mampu muncul pasukan pertama menang semua 19 perlawanan di laman sendiri.

2. Rekod kemenangan terbanyak dalam semusim Liverpool hanya memerlukan enam kemenangan lagi untuk menyamai rekod 32 kemenangan yang dicatat Manchester City pada 2017/18 dan 2018/19.

3. Rekod kemenangan terbanyak di tempat lawan Ketika ini Liverpool memenangi 12 daripada 15 perlawanan di tempat lawan dan perlu menang semua empat aksi tempat lawan untuk menyamai rekod 16 perlawanan milik Manchester City pada 2017/18.

4. Rekod pungutan mata terbanyak dalam semusim Liverpool memerlukan 14 mata lagi daripada 21 mata yang boleh diperoleh untuk menyamai kutipan 100 mata yang dilakukan Manchester City.

5. Perbezaan mata terbesar Manchester City memenangi liga dengan jurang 19 mata pada 2017/18 dan kini Liverpool tampak berpeluang cerah memintas rekod itu.

Berita Harian X