Khamis, 2 Julai 2020 | 9:54pm
Aubameyang jadi pemain Arsenal terpantas ledak 50 gol. - Foto AFP
Aubameyang jadi pemain Arsenal terpantas ledak 50 gol. - Foto AFP

Boleh ledak 100 gol lagi

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berharap kapten, Pierre-Emerick Aubameyang mampu menjaringkan 100 gol lagi buat kelab itu selepas kemenangan ke atas Norwich City, awal pagi tadi.

The Gunners melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas lawan yang bergelut di tangga terbawah liga itu menerusi dua gol Aubameyang selain Granit Xhaka dan Cedric Soares.

Gol pertama dijaringkan Aubameyang menyaksikan dia merekodkan gol ke-50 dalam Liga Perdana menerusi 79 penampilan - menjadikan dia pemain Arsenal paling pantas yang mencapai rekod berkenaan.

Bercakap selepas perlawanan dengan Norwich, Arteta memuji prestasi dipamerkan Aubameyang dan melontarkan cabaran kepada pemain itu untuk terus mencetak gol.

"Pemain yang mampu menjaringkan jumlah gol seperti yang direkodkannya dalam tempoh singkat membuktikan betapa pentingnya dia buat kami.

Aubameyang meraikan jaringannya ketika Arsenal bertemu Norwich City di Stadium Emirates, awal pagi tadi. Arsenal menang 4-0. - Foto AFP
Aubameyang meraikan jaringannya ketika Arsenal bertemu Norwich City di Stadium Emirates, awal pagi tadi. Arsenal menang 4-0. - Foto AFP

"Apa yang diraihnya hari ini dengan menjadi pemain paling pantas menjaringkan 50 gol dalam sejarah kelab ini membuktikan kekuatan mental yang dimilikinya dan bagaimana dia bekerja keras," kata Arteta.

Aubameyang masih mempunyai baki kontrak selama setahun dengan Arsenal dan biarpun tidak terbabit dalam rundingan untuk memperbaharui kontrak pemain berkenaan, namun Arteta percaya dia mahu kekal di Stadium Emirates.

"Dia mahu kekal bersama kami. Dia gembira berada di sini.

"Dia dapat lihat apa yang kami mahu cuba lakukan dan diharapkan dia akan bersama kami.

"Saya serahkan kepada pengurusan tertinggi kelab untuk memuktamadkan rundingan mengenai kontraknya," kata Arteta. - Agensi

Berita Harian X