Sabtu, 11 Julai 2020 | 5:26pm
Kelab penyokong bola sepak Kelantan, The Red Warrior KLIA (TRWC KLIA).
Kelab penyokong bola sepak Kelantan, The Red Warrior KLIA (TRWC KLIA).

Penyokong desak presiden, timbalan presiden KAFA letak jawatan

KOTA BHARU: Kelab penyokong bola sepak Kelantan, The Red Warrior KLIA (TRWC KLIA) mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah meletak jawatan bagi memberikan laluan kepada individu lain memimpin persatuan itu.

Presiden TRWC KLIA, Rozaki Ab Kadir, berkata dua pemimpin itu perlu memberikan kata putus kerana keputusan 'merehatkan' mereka daripada menguruskan KAFA tidak memberikan kesan bagi membantu kemelut yang dihadapi oleh persatuan berkenaan.

"Berehat...bermakna jawatan itu akan tergantung dan menyukarkan pengurusan KAFA untuk melantik presiden dan timbalan presiden yang baharu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Rozaki berkata peletakan jawatan oleh kedua-dua pemimpin itu penting bagi memudahkan KAFA melantik individu lain untuk merancang hal tuju TRW dan persatuan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Sebelum ini, KAFA merehatkan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Afandi daripada menguruskan persatuan itu yang 'tenat' dengan pelbagai isu terutamanya hutang dan masalah kewangan.

-- BERNAMA

Berita Harian X