Sabtu, 1 Ogos 2020 | 11:18am
Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). - Foto NSTP
Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). - Foto NSTP

Selangor dijangka terus tumpang Stadium MBPJ musim depan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mungkin perlu terus 'menumpang' selepas mempertimbangkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang sementara untuk skuad The Red Giants musim 2021.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata perancangan bagi musim depan itu perlu dipertimbangkan selepas beberapa kertas cadangan untuk proses baikpulih Stadium Shah Alam bakal dibentangkan kerajaan negeri dengan tiada tarikh akhir berhubung tempoh stadium itu dibenarkan beroperasi semula.

Jelasnya, Stadium MBPJ akan menjadi venue sementara buat Selangor sehingga Stadium Shah Alam sudah siap dibaikpulih dan sedia untuk pasukan itu kembali beraksi gelanggang keramat mereka.

"Saya memahami perasaan penyokong yang inginkan gelanggang sendiri tetapi banyak lagi perkara yang Selangor perlu perbaiki dan bangunkan. Stadium antara agenda utama kami tetapi ia adalah salah satu perkara yang memerlukan sumber dan masa terperinci dan rapi.

"Kita tidak ingin terburu-buru dalam membuat keputusan. Saya berharap agar penyokong boleh bagi masa untuk FAS mengkaji, memahami dan mencari dana untuk membangunkan stadium sendiri," katanya.

Dalam perkembangan sama, Johan mengesahkan Stadium UiTM Shah Alam akan menjadi venue rasmi bagi pasukan utama Selangor apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung pada 26 Ogos ini.

Johan berkata, perubahan ini terjadi selepas mereka mengambil pendekatan awal berdasarkan perbincangan di peringkat lebih tinggi yang dijalankan oleh pihak pengurusan Stadium Shah Alam.

"FAS tak mahu berada dalam keadaan tak menentu dan mengambil keputusan untuk bermain di tempat lain sambil memberi ruang dan masa untuk Stadium Shah Alam mengalami perubahan yang lebih baik.

"Apa yang kita cuba elak adalah semasa Liga M berlangsung, tiba-tiba proses menambahbaikan dijalankan. Dengan aksi tanpa penyokong, kita mengambil keputusan untuk berpindah lebih awal kerana komitmen untuk menyediakan tempat duduk untuk penyokong bukan lagi fokus untuk sementara waktu," katanya.

Berita Harian X