X
Sabtu, 1 Ogos 2020 | 1:44pm
Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Khalid Jamlus nafi `pilih' jawatan

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus menafikan dia 'memilih' jawatan apabila didakwa hanya mahu mengintai peluang menjadi ketua jurulatih untuk pasukan bola sepak.

Sebaliknya, bekas pemain Perak itu menegaskan dia sanggup bermula daripada bawah sekiranya ada pihak dapat memberikan peluang untuk 'masuk' dan terbabit dalam bidang kejurulatihan sekali gus membolehkan dia menimba ilmu dalam arena kejurulatihan.

Jelasnya, untuk menjadi seorang jurulatih yang baik, dia perlu terus belajar dan untuk mencapai matlamat itu, dia tidak kisah seandainya diberikan apa sahaja 'nombor' untuknya dalam barisan kejurulatihan asalkan dapat membantu dia menambah pengetahuannya.

"Apabila kita nak belajar, kita kena duduk di dalam (pasukan) sebab kalau duduk di luar, kita tidak tahu apa yang berlaku di dalam. Sebab itulah saya cakap, kalau tiada nombor dua (pembantu jurulatih), ada nombor lapan pun saya sanggup sebab saya nak duduk di dalam dan belajar.

"Itu sebenarnya perancangan saya. Saya bukan kata nak terus jadi ketua jurulatih, itu salah. Kita tengok sekarang pun barisan kejurulatihan boleh sampai lapan ke sembilan orang. Secara jujurnya nombor enam atau tujuh pun boleh dengan syarat saya nak belajar.

"Saya ada bercakap dengan beberapa jurulatih dan meminta peluang kerana kalau saya tidak duduk di dalam, bagaimana saya nak teruskan perjalanan dan dapatkan pengalaman.

"Kalau nombor lapan pun tetapi saya di dalam, saya boleh belajar dan lihat bagaimana jurulatih uruskan pasukan dan pembantu jurulatih buat kerja. Sebelum ini pengalaman dua tahun bersama PDRM, tidak cukup dan saya kena belajar lagi," katanya.

Dalam masa sama, Khalid menjelaskan buat masa ini dengan akan fokus untuk mendapatkan lesen kelas A terlebih dahulu sebelum memikirkan hala tuju terbaik untuk dia meneruskan kariernya dalam bidang kejurulatihan.

"Apapun, saya kena ikut langkah demi langkah dan buat apa yang diperlukan. Selain lesen kelas A, ada juga aspek lain yang perlu dilakukan dan saya akan beri tumpuan kepada perkara ini," katanya.

Berita Harian X