Ahad, 2 Ogos 2020 | 11:20am
Eddie Howe. - Foto AFP
Eddie Howe. - Foto AFP

Howe berat hati lepas Bournemouth

LONDON: Pengendali Bournemouth Eddie Howe mencapai persetujuan untuk meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris yang tersingkir ke Liga Kejuaraan itu.

Masa depan Howe menjadi tanda tanya selepas tempoh lima tahun Bournemouth di Liga Perdana berakhir Ahad lalu.

Howe mengakui selepas perlawanan terakhir Bournemouth musim ini di Everton, keputusan perlu dibuat berkenaan kedudukannya sebelum kempen 2020-21 bermula pada 12 September.

"Selepas 25 tahun bersama kelab sebagai pemain dan pengurus - keputusan ini - yang diputuskan bersama kelab - antara yang paling sukar pernah saya terpaksa lakukan.

"Bournemouth akan sentiasa berada di hati saya, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk kelab membuat perubahan," kata Howe.

Howe, turut bermain untuk kelab selama 11 tahun, dan menjadi pengendali sementara pada Disember 2008 - ketika Bournemouth berada di tangga tercorot divisyen empat.

Selepas mengendali Burnley seketika pada tahun 2011, Howe kembali bersama Bournemouth dan berjaya membawa The Cherries ke Liga Perdana selepas tiga musim. - AFP

Berita Harian X