Ahad, 2 Ogos 2020 | 12:04pm
Stadium MBPJ. - Foto NSTP
Stadium MBPJ. - Foto NSTP

Selangor sedia guna Stadium MBPJ musim depan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan mengakui pasukannya tetap bersedia sekiranya terpaksa menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang rasmi untuk saingan musim depan.

Ia berikutan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon, semalam dilaporkan berkata cadangan itu perlu dipertimbangkan selepas masih tiada tarikh akhir bila Stadium Shah Alam boleh digunakan kerana proses baik pulih.

Justeru, Sathianathan berkata pihaknya memahami masalah yang dihadapi FAS dalam menentukan gelanggang rasmi The Red Giants.

"Stadium Shah Alam dikatakan belum bersedia lagi, jadi kita pun kena faham situasi FAS ketika ini. Apa yang saya lihat padang di Stadium MBPJ cantik, cuma jumlah penyokong saja tak boleh muat ramai.

"Tapi apa yang penting kita dapat beraksi di tempat yang sesuai dan dekat dengan penyokong Selangor. FAS juga sudah ambil langkah proaktif. Katakan Stadium Shah Alam tak siap, kita sudah bersedia dengan pilihan lain," katanya kepada BH Sukan.

Selangor juga tidak sempat menggunakan Stadium Shah Alam musim ini susulan masalah bumbung stadium yang bocor dan memerlukan masa bagi proses baik pulih.

Dalam perkembangan lain, Sathianathan menjelaskan pasukannya juga sudah mempersiapkan diri untuk memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M) 26 Ogos ini.

"Semua berjalan lancar, tapi kita masih tunggu Ifedayo Olusegun yang masih belum pulang dari Nigeria akibat COVID-19. Tapi dia berlatih bersama kelab lamanya di sana dan pihak pengurusan juga sedang berusaha untuk pastikan dia dapat balik ke sini," katanya.

Berita Harian X