Rabu, 16 September 2020 | 2:15pm
- Foto erengganu Football Club
- Foto erengganu Football Club

Tarmizi belum dilayangkan 'kad merah'

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum lagi melayangkan 'kad merah' kepada Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim sekalipun mencetuskan kontroversi ketika mengadili perlawanan antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT), minggu lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Md Dali Wahid yang menjelaskan pihaknya akan melihat secara terperinci mengenai situasi sebenar yang berlaku pada perlawanan itu sambil mengesahkan jawatankuasa akan bermesyuarat sebelum apa-apa keputusan diambil.

"Kita tidak jatuhkan lagi hukuman kepada dia kerana jawatankuasa akan putuskan nanti. Pada saya, tidak adil kalau dia terus dihukum tanpa kita perhalusi kesnya terlebih dahulu.

"Sama ada dia bertugas minggu ini, kita kena tunggu kerana pengadil bertugas mengikut giliran. Perlawanan pun berkurangan, jadi kalau dia tidak bertugas, mungkin kerana gilirannya sudah berakhir memandangkan dia sudah bertugas minggu lalu.

"Bukan bermakna sebab dia tidak bertugas minggu ini, dia dihukum. Rasionalnya, kita belum jatuhkan hukuman ke atasnya," katanya.

Terdahulu, mutu pengadilan Wan Mohamad Tarmizi dipersoalkan selepas beberapa pihak mempertikai beberapa keputusannya ketika mengadili perlawanan membabitkan skuad Penyu dan skuad Harimau Selatan, minggu lalu.

Selain dikritik hebat peminat di media sosial, isu berkenaan turut mendapat perhatian daripada mantan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail yang juga pemilik JDT mendakwa kualiti dipamerkan pengadil pada perlawanan itu sebagai teruk dan gagal mengawal perlawanan dengan baik.

Berita Harian X