Khamis, 20 Julai 2017 | 8:09pm
NUR Amirah Shakirah Zulkifli (dua, kanan) semasa perlawanan Kejohanan Liga Remaja Wanita 2016 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto fail NSTP

Hoki: Nur Amirah kembali sertai latihan

KUALA LUMPUR: Nur Amirah Shakirah Zulkifli memberi perkhabaran gembira buat skuad hoki wanita negara apabila kembali melaporkan diri ke kem latihan pasukan minggu ini.

Sebelum ini penyerang berusia 17 tahun itu terpaksa melupakan saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium, bulan lalu kerana kekangan masa untuk menjalani latihan berikutan masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Lela Pahlawan, Padang Serai, Kedah.

Namun, pengendali hoki wanita negara Dhaarma Raj Abdullah mengesahkan masalah itu sudah diatasi selepas Nur Amirah berjaya ditempatkan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, di sini sekali gus memberi banyak pilihan kepadanya di bahagian serangan.

"Bagi saya sekarang ini pemilihan masih terbuka terutama di bahagian serangan berikutan kehadiran semula Nur Amirah sejak awal minggu ini.

"Malah, dengan prestasi tidak menentu beberapa penyerang ketika ini tidak mustahil dia berpeluang ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017," kata Dhaarma ketika dihubungi.

Dengan kehadiran Nur Amirah, bermakna tempat dua penyerang Norazlin Sumantri dan Nur Zafirah Aziz tampak tergugat selepas gagal beraksi baik pada kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Berita Harian X