Ahad, 23 Julai 2017 | 12:10am
KUMARESAN dan Lisa Kwan.

Kayuhan Kumaresan, lontaran Lisa Kwan digeruni

KETIADAAN gelanggang latihan sempurna tidak pernah menjadi penghalang buat atlet berbasikal era 80an mengukir nama di pentas Asia Tenggara. M Kumaresan sebahagian atlet berbasikal yang berjaya menempa nama sebagai wira negara hingga ke temasya olimpik. BH Ahad mengimbau sedikit pengalamannya meniti ke puncak.

Tujuh kali pernah beraksi di Sukan SEA, kehebatan kayuhan M Kumaresan digeruni ramai apabila membawa pulang keseluruhan sembilan pingat emas sepanjang penyertaannya.

Kehebatan Kumaresan begitu dikenali dalam acara ujian masa individu dan 4km kejar mengejar individu, dan tidak pernah ketinggalan menyumbang emas dalam temasya dwi tahunan peringkat Asia Tenggara itu.

M Kumaresan gigih menjalani latihan di Velodrome Kuala Lumpur bersama Datuk Ng Joo Ngan. - Foto Arkib NSTP

Bermula pada Sukan SEA 1985 lagi, Kumaresan menyertai temasya dwi tahunan itu sebagai pelumba paling muda ketika itu apabila baru berumur 18 tahun selepas dibawa mendapatkan pendedahan di Jerman bersama jurulatih, Karl Zickler.

Hasilnya, Kumaresan menyumbang dua perak menerusi acara 4km kejar-mengejar individu dan ujian masa individu.

Namun dia semakin menyerlah dua tahun kemudian di Jakarta apabila memenangi tiga emas (perlumbaan mata, juara peringkat kedua dan individu keseluruhan jalan raya), 2 perak dan 2 gangsa.

M Kumaresan acara kiraan mata pada Sukan Olimpik Barcelona. - Foto Khalid Redza

Berlatih di jalan raya

Kejayaannya pada temasya itu turut mengangkat nama Kumaresan apabila diberi pengiktirafan tertinggi di Malaysia dengan anugerah Olahragawan Kebangsaan 1987,

Kumaresan yang berfizikal tinggi cukup dikenali ketika zaman kegemilangannya itu dengan sering mengenakan cermin mata yang berwarna warni.

Bagi pelumba yang menggemari acara 4km kejar mengejar itu, Kumaresan yang kini terbabit dalam Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017) sebagai Timbalan Ketua Kontinjen negara pernah mencipta rekod kebangsaan 4 minit 27.20 saat (4km kejar mengejar) di Sukan SEA 1989 Kuala Lumpur sebelum ia diperbaharui Lee Robert, 4:55.10s di Kejohanan Piala Dunia Trek di Velodrom Rakyat, Ipoh pada Ogos 2000.

Dengan kemudahan trek yang sangat terhad pada ketika itu, kejayaan Kumaresan dalam acara 4km kejar mengejar adalah cukup membanggakan apabila dia hanya berlatih di lebuh raya bagi ketahanan dan kekuatan.

Kejayaan Kumaresan banyak disokong oleh bekas Datuk Bandar, Tan Sri Elyas Omar yang menyediakan segala kemudahan latihan di dalam mahu pun luar negara serta di bawah bimbingan Ng Joo Ngan.

Bukan sekadar di pentas Asia Tenggara, Kumaresan pernah mencipta nama sebagai pelumba berbasikal pertama negara yang mara ke final Sukan Olimpik 1992 Barcelona namun dia sekadar menduduki tempat ke-21 daripada 24 pelumba terbaik dunia.

M Kumaresan acara kiraan mata pada Sukan Olimpik Barcelona. - Foto Khalid Redza

Hayunan sempurna Lisa Kwan

Sementara itu, mencipta sejarah sebagai pemain boling pertama negara memenangi pingat perak dalam Sukan Dunia 1993 di Belanda, Lisa Kwan tidak pernah menyangka dia akan diangkat sebagai seorang pemain terbaik dunia.

Bermula secara suka-suka pada 1984, Lisa bermula menyertai liga tempatan bersama kawan-kawan dan seleps itu tidak lagi menoleh ke belakang apabila menjuarai peringkat kebangsaan setahun kemudian.

Dua kali diiktiraf sebagai Olahragawati Kebangsaan pada 1991 dan 1993, kehebatan Lisa banyak dibantu oleh kemasukan bekas jurulatih Kanada, Sid Allen dengan tahun 1991 menyaksikan tahun yang 'menjadi' buat pemain itu.

Atlet peramah

Dalam masa tujuh tahun sejak bermula secara suka-suka, Lisa membanggakan negara apabila berjaya menduduki tangga kedua di Kejohanan Dunia FIQ 1991 di Singapura.

Tidak terhenti di situ, Lisa melabuhkan tirai 1991 dengan memenangi emas acara berpasangan di Sukan SEA Manila apabila digandingkan dengan Shirley Chow sebelum memperoleh tiga emas di Sukan Sea 1993 di Singapura.

Dua kali menggegar arena boling dunia dengan ingat perak, Lisa yang mempunyai perwatakan begitu peramah sebenarnya meluahkan kekesalannya kerana tidak dapat dimahkotakan sebagai juara dunia.

"Siapa yang suka ditewaskan ketika sudah hampir untuk mendapat emas," katanya yang tidak pernah rasa kesal mengorbankan zaman remaja dan sebahagian besar kehidupannya di pusat boling.

Info
Nama: M Kumaresan
Tarikh lahir: 13 Januari 1967
Asal: Batu Pahat, Johor
Sukan: Lumba basikal
Acara: Perlumbaan mata, 4km kejar-mengejar individu, ujian masa individu dan lebuh raya
Mewakili negara: 1985 hingga 1998
Anugerah: Olahragawan Kebangsaan I987

Pencapaian terbaik:
- Atlet pertama Malaysia ke final di Sukan Olimpik (final perlumbaan mata di Barcelona 1992, raih tempat ke- 21 daripada 24 pelumba)

- Sukan SEA
Bangkok 1985: 2 perak
Jakarta 1987: 3 emas, 2 perak dan 2 gangsa
Kuala Lumpur 1989: 3 emas
Manila: 1991: 2 emas
Singapura 1993: 1 emas
Chiang Mai 1995: 1 gangsa
Jakarta 1997: 1 gangsa

Info
Nama: Lisa Kwan Siow Mooi
Tarikh lahir: 1 September 1964
Asal: Klang, Selangor
Sukan: Boling

Pencapaian terbaik:
- Kejohanan Dunia FIQ 1991 di Singapura - satu pingat perak acara masters
- Kejohanan Sukan Dunia 1993 di Haque, Belanda - satu pingat perak acara individu
Anugerah: Olahragawati Kebangsaan 1991 dan 1993

Berita Harian X