Isnin, 24 Julai 2017 | 7:14pm
SAFUAN melakukan balingan pada Kejohanan Boling Padang Pra Sukan SEA di Pusat Boling Padang Bukit Kiara hari ini. - Foto BERNAMA

KL2017: Safuan idam hadiah istimewa

KUALA LUMPUR: Pemain boling padang negara, Safuan Said, mengintai tiga sambutan serentak apabila sukan itu kembali disenaraikan pada Sukan SEA edisi ke-29, di sini, bulan depan selepas hampir sedekad disisihkan.

Bekas juara dunia itu mahu menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-35 pada 3 Ogos ini serta pembabitannya dalam sukan itu selama dua dekad dengan merangkul pingat emas acara lelaki 'fours' apabila sukan boling padang itu dipertandingkan dari 22 hingga 27 Ogos ini.

Selepas bersara daripada skuad negara pada 2012, pengalaman luas dalam pertandingan antarabangsa, termasuk beraksi di Liga Perdana Australia membolehkan Safuan mendapat kepercayaan Persekutuan Boling Padang Malaysia (MLBF) untuk kembali ke pangkuan skuad negara.

"Ogos ini adalah bulan yang hebat bagi diri saya jika dapat merangkul emas. Kami sudah pasti akan berdepan dengan cabaran sengit peserta berpengalaman negara lain. Bagaimanapun, kami akan tetap memberi persembahan terbaik untuk meraih emas.

"Jurulatih negara, Simon Botha, memberi kepercayaan kepada saya untuk mengetuai cabaran negara dalam acara 'fours' dan saya akan memastikan keputusan jurulatih itu adalah tepat," katanya kepada Bernama pada Kejohanan Boling Padang Prasukan SEA di Pusat Boling Padang Kebangsaan di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Pada saingan hari ini, pasukan Safuan merangkul emas selepas mengalahkan pemain junior negara daripada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, 13-10, manakala pingat gangsa menjadi milik Thailand selepas menundukkan Brunei 16-14.

Safuan, pemenang emas acara 'pairs' pada Sukan SEA 2005 di Filipina dan gangsa dalam acara 'singles' pada edisi 2007 di Korat, kembali semula ke skuad negara April lalu.

Beliau turut beraksi untuk pasukan Murray Steamers di Liga Perdana Australia untuk musim 2015, selain bermain dalam Liga Perdana Melbourne untuk musim 2014 hingga 2017.

Kali terakhir acara boling padang dipertandingkan adalah di Korat 2007, yang menyaksikan Malaysia meraih empat daripada enam emas yang dipertandingkan. - BERNAMA

Berita Harian X