Selasa, 25 Julai 2017 | 10:14am
USAIN Bolt antara tiga juara Olimpik yang akan memperkuatkan skuad Jamaica pada Kejohanan Olahraga Dunia di London, 4 hingga 14 Ogos ini.- Foto EPA

Aksi antarabangsa terakhir Bolt di London

KINGSTON: Usain Bolt antara tiga juara Olimpik yang akan memperkuatkan skuad Jamaica pada Kejohanan Olahraga Dunia di London, 4 hingga 14 Ogos ini.

Bolt memburu kejayaan keempat berturut-turut dalam acara tumpuan 100 meter dan kelima bagi 4x100m pada penampilan terakhirnya di peringkat antarabangsa.

Pemenang dua pingat emas acara pecut di Sukan Olimpik Rio 2016, Elaine Thompson dan Omar Mcleod yang memenangi emas pertama Jamaica dalam acara 110m lompat berpagar di Rio, turut berada dalam senarai 59 atlet yang akan menggalas cabaran Jamaica.

Persatuan Pentadbiran Olahraga Jamaica (JAAA) turut mengumumkan Hansle Parchment yang memenangi perak acara 110m lompat berpagar di Kejohanan Dunia di Beijing, China pada 2015 dan bintang meningkat naik, Ronald Levy, akan menyertai Mcleod dalam acara itu.

Juara dunia 100m berpagar, Danielle Williams yang baharu memperbaharui catatan terbaik peribadi 12.56 saat ketika memastikan status juara Jamaica bulan lalu turut berada dalam senarai, bersama pemenang gangsa 400m, Shericka Jackson.

Skuad Jamaica sudah memulakan kem pemanas badan di Birmingham dan menyasarkan menambah jumlah 12 pingat yang dimenangi ketika edisi 2015. - Reuters

Berita Harian X