Jumaat, 14 Julai 2017 | 7:45am

KL2017: Tiket 3 acara sukan habis dijual

KUALA LUMPUR: Tiket bagi acara sukan bola keranjang, bola jaring dan taekwondo Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang dijadual bermula 14 hingga 30 Ogos ini, habis dijual.

Menurut laman web rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur, www.kualalumpur2017.com.my, tiket bagi acara akhir pencak silat serta acara akhir renang turut laris dijual.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong, ketika diminta mengulas mengenainya berkata bilangan tempat duduk di venue pertandingan tertentu berkemungkinan ditambah lagi.

Antara tempat duduk venue pertandingan yang akan ditambah ialah bagi acara bola jaring di Stadium Juara, Bukit Kiara dan sepak takraw di Stadium Titiwangsa.

"Stadium Juara (untuk acara bola jaring) boleh menampung sehingga 1,000 penonton dalam satu-satu masa, kita akan pertimbangkan untuk tambah tempat duduk," katanya.

"Saya telah minta setiap persatuan sukan untuk perhalusi keadaan di setiap venue. Sekiranya tiket bagi sukan berkenaan telah habis dijual, mungkin kita boleh menambah bilangan tempat duduk di venue itu.

"Bagaimanapun, kita akan mengawal penambahan penjualan tiket itu dan keutamaan tetap akan diberikan kepada penyokong Malaysia," katanya. -- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X