Selasa, 18 Julai 2017 | 9:30pm
MOHD Ziyad Zolkefli (kiri) dan Abdul Latif Romly disandarkan harapan lebih tinggi untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), bulan depan.- Foto Reuters
MOHD Ziyad Zolkefli (kiri) dan Abdul Latif Romly disandarkan harapan lebih tinggi untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), bulan depan.- Foto Reuters

Khairy cabar Ziyad, Latif gegar KL2017

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan diraih pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London minggu lalu, dua atlet paralimpik negara, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly disandarkan harapan lebih tinggi untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kejayaan Ziyad dan Abdul Latif melakar kejayaan di London memang sudah dijangkakan.

"Tahniah kepada mereka, namun sasaran kepada dua atlet berkenaan ialah Sukan SEA. Saya mahu prestasi daripada aksi paralimpik mampu dibawa ke saingan (atlet) normal.

"Contohnya Ziyad ketika ini berada pada kedudukan perak Sukan SEA (berdasarkan keputusan Sukan SEA 2015). Saya percaya kejayaan di London akan memberi dorongan untuk emas (Sukan SEA) yang selama ini tiada langsung sasaran, namun kini hadir menerusi atlet paralimpik," kata Khairy.

Ziyad memenangi acara lontar peluru T20 (masalah pembelajaran) dengan melakar rekod dunia sejauh 17.29 meter (m) di London, manakala Abdul Latif memperbaharui rekod kejohanan dalam acara lompat jauh T20 dengan jarak 7.37m.

Emas Sukan SEA 2015 dalam acara lontar peluru dimenangi atlet Thailand, Promrob Juntima dengan jarak 17.47m, disusuli rakan senegara Chatchanal Polyiam 17.05m dengan gangsa dimenangi atlet negara, Adi Alifuddin Hussin.

Selain Sukan SEA pada Ogos, Ziyad dan Abdul Latif turut menjadi sandaran meraih emas pada Sukan Para ASEAN pada September nanti.

Sementara itu Khairy percaya proses mendapatkan pengiktirafan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) untuk trek olahraga Stadium Nasional Bukit Jalil akan diselesaikan sebelum temasya terbesar Asia Tenggara itu disingkap tirainya.

Berita Harian X