Rabu, 19 Julai 2017 | 6:54pm
TEMURAMAH pengurus pasukan gimnastik negara, Azmi Hassan.- Foto Luqman Hakim Zubir

Skuad gimnastik artistik optimis atasi emas 2015

KUALA LUMPUR: Skuad gimnastik artistik membayangkan mereka mampu meraih lebih tiga pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan depan.

Pengurus pasukan, Azmi Hassan berkata, buat masa ini pihaknya belum bersedia mendedahkan sasaran sebenar mereka kerana 'takut' dengan faktor kecederaan saat akhir yang boleh menimpa barisan gimnas.

"Tetapi saya yakin kita mampu melakar pencapaian lebih baik berbanding daripada Singapura 2015 (tiga emas).

"Malah, pemilihan atlet sudah dibuat kini hanya tinggal untuk atlet menjalani latihan fasa akhir," katanya pada sidang media Kita Juara 2017 di sini, hari ini.

Skuad gimnastik artistik sekali lagi akan diketuai pemenang dua emas Sukan SEA Singapura 2015 Farah Ann Abdul Hadi dengan misi terarah kepada usaha mempertahankan pingat emas berpasukan wanita dan individu lantai wanita.

Namun, apa yang menarik untuk diperkatakan adalah penampilan sulung Nur Azira Aziri apabila jurulatihnya Ng Shu Wai mengakui mengambil risiko mempertaruhkan atlet berusia 17 tahun itu.

Selain Azira, seorang lagi atlet yang menetap di Great Britain, Lavinia Michelle Raymund Jayadev juga disenaraikan buat kali pertama sekalipun belum pernah menjalani latihan bersama rakan sepasukan yang lain.

"Skuad kali ini hasil gabungan atlet senior dan muda... Atas sebab itu saya lebih risaukan mengenai ketahanan mental berbanding kecederaan kerana takut atlet muda seperti Azira cepat gemuruh."

Pada edisi dua tahun lalu, skuad gimnastik artistik negara membawa pulang tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Acara ini akan dipertandingkan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 20 hingga 23 Ogos nanti.

Berita Harian X