Isnin, 24 Julai 2017 | 6:44pm

4 juara dunia kebanggaan negara - Khairy

SEPANG: Empat juara dunia yang dicipta dalam tempoh empat bulan pada tahun ini adalah kejayaan yang cukup membanggakan buat arena sukan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kejayaan itu diharap dapat menjadi asas dan mendorong lebih banyak kecemerlangan pada masa depan, termasuk dalam misi muncul juara keseluruhan di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Ketika ditemui pada majlis sambutan kepulangan wira kontinjen terjun negara dari Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary, di sini, sebentar tadi, beliau berkata, kejayaan atlet terjun, Cheong Jun Hoong, yang muncul juara dunia diharap menjadi asas kepada lebih banyak kejayaan.

"Tahniah kepada pasukan terjun negara terutama kepada Jun Hoong iaitu juara dunia dalam acara terjun 10 meter platform individu wanita, yang juga juara dunia pertama Malaysia dalam sukan terjun.

"Ia tahun yang menakjubkan terutama buat sukan terjun negara kerana apa yang dicapai oleh mereka di Budapest jauh melebihi jangkaan kita.

"Kejayaan ini cukup membanggakan negara. Saya harap sukan terjun di Malaysia akan terus menuai kejayaan. Kita kini adalah negara sukan terjun dunia dan menyasarkan untuk raih lebih banyak kejayaan di masa depan," katanya.

Khairy mahu kontinjen terjun negara mempamerkan aksi konsisten terutama dalam usaha menyapu bersih semua 13 emas dalam acara terjun yang ditawarkan di KL2017.

"Cabaran paling dekat ialah Sukan SEA dan sekali pun ia bukan Kejohanan Dunia, kita mahu memastikan kita dapat meraih semua pingat emas yang ditawarkan.

"Pelaburan dalam sukan ini sudah kita dapat lihat kejayaannya ketika ini," katanya.

Khairy berkata, pembangunan sukan terjun di seluruh negara akan dipergiatkan dan kolam latihan terjun khas akan dibina di Kompleks Sukan Bukit Jalil selepas KL2017 berakhir.

KHAIRY Jamaluddin (kanan) dan Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia Datuk Seri Shahidan Kassim (dua, kiri) bergambar bersama penerjun elit kebangsaan, Cheong Jun Hoong (kiri) dan Pandalela Rinong sambil menunjukkan pingat yang dimenangai mereka pada Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest Hungary pada majlis sambutan meraikan Wira Negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X