Isnin, 31 Julai 2017 | 5:22pm
STADIUM Juara Bukit Kiara.

KL2017: PBJM kaji tambah 400 kerusi penonton

KUALA LUMPUR: Bahagian teknikal Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) sedang membuat kajian terperinci untuk memohon mendapatkan tempat duduk tambahan bagi penonton ketika saingan Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) nanti.

Setiausaha Kehormat PBJM, Zainon Md Noh berkata, pihaknya sedang mencuba sedaya upaya untuk menambah tempat duduk di lokasi pertandingan di Stadium Juara Bukit Kiara memandangkan permintaan tinggi oleh penonton.

"Jumlah sebenar sedang diteliti bahagian teknikal dan boleh dikatakan kami bercadang menambah antara 300 hingga 400 tempat duduk tambahan bergantung kepada laporan yang akan disiapkan minggu ini," katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Sebelum ini, skuad bola jaring negara mendapat rangsangan tambahan apabila tiket untuk acara itu sudah habis dijual, kurang tujuh jam selepas dijual secara atas talian pada 4 Julai lalu.

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) menegaskan, Stadium Juara boleh memuatkan 1,000 penonton dan pihaknya akan melihat kemungkinan menambah kepada 1,200 atau 1,300 kapasiti penonton.

Ketika ini, kapasiti sebenar untuk tiket cuma dianggarkan lebih 800 tempat duduk kerana bakinya digunakan untuk ruang tempat duduk orang kenamaan serta pasukan yang bertanding.

"Jumlah itu agak sedikit dan kami jangkakan bahagian teknikal mampu menyediakan laporan untuk menambah antara 300 hingga 400 tempat duduk selepas meneliti pelbagai aspek termasuk laluan kecemasan dan aspek keselamatan.

"Laporan berkenaan akan disiapkan minggu ini untuk dihantar kepada MASOC bagi tindakan seterusnya," katanya.

Mengenai gelanggang yang dikatakan masih belum siap, Zainon menjelaskan semua masalah kecil sudah diperbaiki selepas ujian sebelum pertandingan minggu lalu.

Dan perkara itu katanya, tidak menjadi masalah kerana PBJM sudah biasa menganjurkan kejohanan bertaraf dunia di sini.

Berita Harian X