Selasa, 1 Ogos 2017 | 6:14pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kanan) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) mengadakan lawatan di MITEC hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

KL2017: Khairy puas hati persiapan di MITEC

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpuas hati dengan persiapan venue di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang bakal menjadi gelanggang lapan acara sukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Katanya, setakat hari ini, semua venue di MITEC sudah mencapai tahap 98 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 8 Ogos ini dan bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Baki dua peratus lagi adalah untuk kerja hiasan dan membawa masuk beberapa peralatan teknikal bagi jenis sukan yang berlangsung di sini. Tempat duduk bagi orang awam juga sudah siap dipasang.

"Malah, kita juga akan meningkatkan tahap keselamatan dengan membawa mesin pengimbas. Saya percaya MITEC akan siap sepenuhnya pada 8 Ogos ini," kata Khairy ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di MITEC hari ini.


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) melihat atlet lawan pedang negara berlatih ketika melawat venue untuk Sukan Sea KL2017 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Jalan Duta. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

Katanya, atlet gimnastik, lawan pedang dan ping pong negara sudah pun mula menjalani latihan di venue berkenaan.

Mengulas mengenai persiapan atlet negara menjelang temasya dwitahunan itu, Khairy percaya kontinjen Malaysia di landasan tepat dalam misi memburu gelaran juara keseluruhan.

"Saya berpuas hati dengan persiapan atlet, ramai yang menunjukkan peningkatan prestasi termasuk mencatat rekod baharu kebangsaan.

"Cuma saya harap atlet dijauhi daripada masalah kecederaan. Dengan hanya tinggal lebih kurang tiga minggu, agak sukar kecederaan untuk pulih jika dialami atlet sekarang," katanya.

Info: Lapan acara sukan di MITEC:

Tinju

Lawan pedang

Gimnastik

Hoki dalam dewan

Muay Thai

Ping pong

Bola tampar

Angkat berat.

429 dibaca
Berita Harian X