Rabu, 2 Ogos 2017 | 6:31pm
ATLET angkat berat negara, Hafifi Mansor.

KL2017: Hafifi bahayakan diri sendiri - ISN

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa hari kemelut isu pengguguran Hafifi Mansor hangat diperkatakan, Institut Sukan Negara (ISN) tampil menjelaskan situasi sebenar kenapa atlet angkat berat itu diketepikan daripada saingan Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Dalam satu kenyataan media, ISN berkata, Hafifi masih belum cergas sepenuhnya untuk menyertai sebarang kejohanan terdekat termasuk KL2017.

Sehubungan itu, ISN menegaskan, tindakan Hafifi yang masih menjalani latihan seperti yang disiarkan melalui video secara langsung di laman sosial Facebook jelas boleh membahayakan dirinya.

Tindakan pemenang pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2014 itu juga jelas melanggar nasihat pasukan perubatan yang sentiasa menilai tahap kecederaannya secara menyeluruh.

"Dia meletak risiko kecederaan lanjut di bahagian kaki dengan berlatih dan mengenepikan usaha yang dilakukan doktor serta pakar fisioterapi," kata ISN dalam satu kenyataan.

Hafifi digugurkan pada saat-saat akhir selepas mengalami otot koyak sepanjang 15 sentimeter di bahagian paha kiri ketika menjalani latihan di Liaoning, China, Jun lalu.

Sejak itu, atlet dari Kuala Terengganu itu cuba mempercepatkan proses pemulihan sebelum digugurkan kerana laporan kesihatan menunjukkan dirinya masih tidak cergas sepenuhnya.

Disebabkan kecewa, kelmarin Hafifi memuat naik video secara langsung di Facebook yang seolah-olah mahu membuktikan dirinya sudah berupaya menjalani latihan seperti biasa.

"Daripada satu penilaian perubatan termasuk ujian imbasan menunjukkan terdapat kecederaan yang memerlukan tempoh fisioterapi secara insentif bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar.

"Pasukan perubatan di PODIUM ISN sangat komited untuk membantu Hafifi kembali menyertai kejohanan dengan segera kerana mereka ini adalah atlet berprestasi tinggi yang berada di bawah jagaan.

"Pasukan memahami kekecewaan Hafifi dan berharap dia mendapatkan nasihat pakar bagi membolehkannya kembali di podium pada masa akan datang," kata ISN.

Berita Harian X