Khamis, 3 Ogos 2017 | 5:19pm
PRESIDEN PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab. - Foto Hasriyashah Sabudin

PKBM desak trek berbasikal dipertanding Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghantar surat sokongan kepada sekurang-kurangnya 15 negara termasuk tujuh kuasa besar bagi mendesak tiga acara trek kembali dipertandingkan dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah itu adalah pelan tindakan fasa kedua selepas menghantar surat rasmi berhubung pengguguran acara keirin, pecut dan pecut berpasukan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), rentetan desakan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

"Saya juga akan adakan mesyuarat khas dengan tujuh kuasa besar trek Asia iaitu Jepun, China, Hong Kong, Taiwan, Iran, Kazakhstan dan Korea Selatan di Kongres UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) di Bergen, Norway pada September nanti," katanya.

Abu Samah, yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) menegaskan rumusan bersama tujuh kuasa besar acara trek akan diserahkan kepada Jawatankuasa Eksekutif ACC untuk tindakan seterusnya.

"Namun impian kami adalah serupa iaitu agar Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018 (INASGOC) senaraikan semula acara keirin, pecut dan pecut berpasukan di Sukan Asia 2018 nanti.

Sebelum ini Ahli Lembaga Eksekutif ACC, Datuk Amarjit Singh mendedahkan bahawa Malaysia bersedia menjadi orang tengah untuk memujuk Jepun, China, Korea Selatan, Hong Kong dan Iran untuk mengenakan tekanan bagi memastikan tiga disiplin penting itu kembali dimasukkan dalam acara trek di Sukan Asia 2018.

Sukan berbasikal Asia kini berkocak rentetan tindakan INASGOC yang dikatakan akur kepada OCA untuk menggugurkan tiga acara penting itu.

Abu Samah percaya Malaysia boleh mendapat sokongan padu daripada semua 15 negara gabungan ACC kerana pengguguran acara keirin, pecut dan pecut berpasukan amat memalukan imej Asia sebagai antara kuasa besar berbasikal trek dunia.

"China, Jepun dan Hong Kong, selain Malaysia adalah pemenang pingat emas, perak dan gangsa di Sukan Olimpik serta Kejohanan Trek Sedunia. Jadi kita semua ada kepentingan di dalam hal ini," katanya.- BERNAMA

Berita Harian X