Selasa, 8 Ogos 2017 | 3:43pm
AALIYAH (dua dari kiri) bersama Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Marina Chin (kanan) dan sebahagian atlet ski air di Kompleks Sukan Air Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Aaliyah mampu buat kejutan

PUTRAJAYA: Ratu ski air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah mampu mencipta kejutan dengan merangkul pingat emas dalam acara jump pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Keyakinan itu diluahkan oleh Pengurus Pasukan Luncur Air Malaysia, Ahmad Azuddin Arshad.

Katanya, Aaliyah berupaya memberi cabaran hebat kepada atlet Indonesia, Rossi Amir yang juga pemegang pingat emas acara itu di Singapura dua tahun lalu.

"Keyakinan itu berdasarkan kepada prestasi terbaharu Aaliyah dan Rossi yang menyertai kejohanan pra Sukan SEA di Kompleks Sukan Air di sini, pada akhir bulan lalu," katanya selepas mengiringi Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Marina Chin Abdullah meninjau venue acara luncur KL2017 di sini, hari ini.

Pertandingan Sukan Luncur Air akan diadakan di Kompleks Sukan Air, Presint 6, pada 25 hingga 29 Ogos ini.

Ahmad berkata, Aaliyah ketika ini mendapat bimbingan daripada jurulatih Chile, Larry Gisler.

Katanya, sebelum ini atlet itu memang sukar menyaingi Rossi tetapi selepas mendapat pendedahan dan latihan selama kira-kira enam minggu di Florida, Amerika Syarikat (AS), terdapat peningkatan positif.

"Saya berharap seluruh rakyat Malaysia akan mendoakan Aaliyah dapat melakukan yang terbaik dan mampu meraih bukan hanya dua iaitu dalam acara trick dan keseluruhan, malah mencipta kejutan menang emas dalam acara jump," katanya.

Berita Harian X