Selasa, 8 Ogos 2017 | 9:31pm
AHLI Lembaga Eksekutif Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Datuk Amarjit Singh (kiri) bersama Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab (dua dari kiri). - Foto Owee Ah Chun

Sukan Asia 2018: UCI akan campur tangan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sah akan campur tangan dalam isu pengguguran tiga acara penting berbasikal daripada Sukan Asia 2018 yang dihoskan oleh Indonesia.

Ahli Lembaga Eksekutif Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Datuk Amarjit Singh berkata, perkara itu dinyatakan oleh Presiden UCI, Brian Cookson kepadanya dalam satu pertemuan di Denmark, tiga hari lalu.

Menerusi pertemuan berkenaan, Amarjit memaklumkan UCI bersetuju mendesak Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk mempertimbangkan keputusan pengguguran tiga acara berkenaan iaitu pecut berpasukan, pecut dan keirin.

"Saya tegaskan kepada Presiden UCI bahawa tiga acara trek ini dipertandingkan di Sukan Olimpik 2016 dan Sukan Asia 2014. Bagaimana OCA boleh mengambil tindakan yang tidak bijak dengan mengetepikan acara penting dalam disiplin trek.

"Presiden UCI bersetuju dengan hujah saya dan berjanji akan mendesak OCA untuk kembali mempertandingkan acara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), hari ini.

Mengulas lanjut, Amarjit akan memaklumkan keputusan berkenaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC bahawa UCI memandang serius tentang tindakan OCA itu.

Beliau turut mempersoalkan tindakan itu yang disifatkannya sangat pelik, seolah-olah tidak tahu membezakan acara penting yang sepatutnya dipertandingkan pada Sukan Olimpik atau Sukan Olimpik.

Sementara itu, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab menegaskan Malaysia selaku anggota gabungan UCI menyambut baik keputusan berkenaan. - Bernama

Berita Harian X