Rabu, 9 Ogos 2017 | 3:39pm
KETUA Kontinjen (CDM), Datuk Marina Chin (kiri) beramah mesra dengan skuad bola jaring yang menjalani latihan serta meninjau gelanggang perlawanan di Stadium Juara Bukit Kiara sebagai pesiapan menghadapi KL2017, hari ini. - Foto Osman Adnan

Tiada atlet primadona dalam kontinjen negara

KUALA LUMPUR: Datuk Marina Chin menegaskan tiada primadona dalam kontinjen negara dengan atlet yang berpotensi meraih pingat emas juga tertakluk kepada disiplin yang ditetapkan.

Justeru, beliau yang juga ketua kontinjen negara mengingatkan semua atlet supaya kekal berdisiplin dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sehinggalah berakhirnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sekiranya tidak mahu digugurkan.

"Dalam pasukan mana pun kita ada prosedur operasi standard (SOP) untuk disiplin dan sebagainya.

"Kalau ada seseorang itu tidak kiralah sebagus mana pun anda, sama ada anda ada potensi pingat emas sekali pun jika anda tidak ada disiplin dan tidak boleh mengikuti peraturan yang ditetapkan persatuan, maka persatuan bolehlah memutuskan untuk melakukan sesuatu," katanya selepas mengadakan lawatan atlet boling padang dan bola jaring di Bukit Kiara di sini hari ini.

Mempunyai pengalaman luas dalam mendisiplinkan pelajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sebelum ini, Marina berkata dia bagaimanapun masih belum menerima laporan rasmi tentang pengguguran atlet pecut wanita negara S Komalam Shally daripada kuartet 4x100 meter (m).

"Kebiasaannya kami (sekretariat) akan menerima apa juga keputusan yang dilakukan persatuan terbabit. Atlet juga perlu mematuhi keputusan itu," katanya.

Semalam, Pengurus Pasukan Olahraga Malaysia ke Sukan SEA, Datuk Salim Parlan mengesahkan Komalam digugurkan daripada pasukan pada 4 Ogos selepas rentetan beberapa peristiwa yang disebabkan oleh disiplin atlet itu biarpun nasihat, peringatan, ulangan dan amaran sudah diberi.

Kes pengguguran Komalam menjadi atlet pertama digugurkan dari skuad olahraga kerana masalah itu ketika berlangsungnya perhimpunan akhir kontinjen negara.

Marina berkata tidak ada kes baru yang lain direkodkan selepas lima hari berlangsungnya perhimpunan akhir yang akan tamat esok.

Sementara itu, Marina berkata dia gembira apabila simulasi logistik daripada hotel penginapan ke tempat pertandingan berjalan lancar sepanjang perhimpunan akhir ini dan dijangka keadaan lebih baik ketika berlangsungnya temasya dengan adanya bantuan iringan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita Harian X