Rabu, 9 Ogos 2017 | 4:46pm
SKUAD bola jaring menjalani latihan di Stadium Juara Bukit Kiara sebagai pesiapan menghadapi KL2017. - Foto Osman Adnan

Ranking tidak beri kesan kepada bola jaring

KUALA LUMPUR: Semangat skuad bola jaring kebangsaan tidak luntur meskipun menduduki ranking yang lebih rendah berbanding musuh tradisi Singapura dalam pemburuan pingat emas di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur nanti.

"Apa yang kami tahu dan kami rasa ranking tidak beri apa-apa kesan.

"Apa yang berlaku adalah pada perlawanan itu nanti lebih penting. Kita tidak tahu siapa menang dan kalah, yang kami tahu adalah kami akan bermain bermati-matian," kata kapten pasukan bola jaring negara, Nur Syafazliyana Mohd Ali ketika menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Singapura kini berada di ranking ke-18 dunia sementara skuad negara berada di ranking ke-21 manakala satu lagi pesaing utama, Thailand berada di ranking ke-31.

Baru memikul tugas sebagai kapten pasukan pada tahun ini, Syafazliyana berkata pemain negara kini gigih dalam membaiki kemahiran segi taktikal yang ada biarpun memperoleh kemenangan besar ke atas Thailand pada Kejohanan Pra Sukan SEA dua minggu lalu.

"Secara peribadinya saya dan kawan-kawan mahukan emas di Sukan SEA. Pasukan Singapura sekarang ada berlatih di luar negara tetapi kami juga sudah ke luar negara (Australia)," katanya.

Sementara itu jurulatih pasukan bola jaring negara, Tracey Robinson berkata pasukannya tidak terlalu memikirkan tentang juara bertahan, Singapura dan akan memikirkan tentang lawan pada satu demi satu perlawanan.

"Kami sudah bersedia untuk berdepan perlawanan pertama menentang Thailand. Kami yakin untuk bermain namun apa-apa juga boleh berlaku," katanya.

Tracey yang berasal dari Australia berkata mereka tidak akan memandang rendah pada keupayaan lawan dan menghormati setiap satu lawan pada perlawanan itu nanti.

Pada temasya lalu di Singapura, Malaysia ketinggalan hanya tiga mata di belakang tuan rumah dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

818 dibaca
Berita Harian X