Khamis, 10 Ogos 2017 | 6:33pm
AKSI Rachel Arnold (kanan) ketika saingan Kejohanan Skuasy Wanita PSA Dunia di Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan
AKSI Rachel Arnold (kanan) ketika saingan Kejohanan Skuasy Wanita PSA Dunia di Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Rachel Arnold tekad pertahan emas

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy negara, Rachel Arnold yakin mampu beraksi cemerlang untuk memburu dua pingat emas di Sukan SEA meskipun masih bertarung dengan kecederaan buku lali.

Rachel, 21, tekad mempertahankan emas acara perseorangan dan bakal bergandingan dengan Aifa Azman untuk emas acara beregu wanita.

Meskipun masih menanggung kesakitan angkara cedera ketika mengambil bahagian dalam Kejohanan Dunia di Manchester, minggu lalu.

"Saya terseliuh, tetapi sekarang kesakitan semakin reda. Saya belum memulakan latihan berat tetapi sudah mula dengan larian. Ia tidak serius sangat," katanya.

Ketika bertanding di Manchester, Rachel bergandingan dengan ratu skuasy negara, Nicol David dalam acara beregu wanita manakala berpasangan dengan Syafiq Kamal dalam acara beregu campuran.

"Mungkin esok saya akan kembali ke gelanggang selepas berlatih sendirian semalam. Kecederaan ini tidak serius dan ia tidak akan menghalang saya beraksi di Sukan SEA,'' katanya.

Rachel bagaimana pun kali ini tidak disenarai untuk acara berpasukan wanita seperti dilakukan pada temasya Sukan SEA ke-28 di Singapura dengan memenangi satu emas acara itu.

"Saya tidak kisah mencuba acara beregu pula. Ia pengalaman yang berguna ketika bergandingan dengan Nicol dan Delia.

"Saya juga pernah bergandingan dengan Aifa sebelum ini dan kami kekal dengan corak permainan masing-masing.

"Kami akan mula bekerja sama sebagai gandingan mulai minggu ini. Saya rasa kami ada peluang cerah untuk menang emas," katanya.

Rachel begitupun sedar saingan untuk emas perseorangan kali ini pastinya daripada rakannya, S Sivasangari, yang muncul pemenang pada pertemuan kali terakhir sesama mereka pada Kejohanan Jelajah Malaysia yang berlangsung di Pulau Pinang, Oktober lalu.

"Kami sudah tidak bertembung buat beberapa ketika dan pertemuan terakhir dia menang. Saya rasa ia tentu menarik jika kami berdua mara ke final," katanya.

Malaysia mensasarkan tujuh daripada sembilan pingat emas yang dipertandingkan pada temasya kali ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X