Ahad, 13 Ogos 2017 | 5:27pm
JURULATIH bola jaring negara, Tracey Robinson (tiga dari kiri) memberi tunjuk ajar kepada pemain bola jaring ketika sesi latihan di Stadium Juara Bukit Kiar. - Foto Osman Adnan

Misi rampas emas bermula

KUALA LUMPUR: Masanya sudah tiba untuk skuad bola jaring negara memulakan misi merampas kembali emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila turun beraksi pada perlawanan pertama esok.

Malaysia akan membuka tirai pertemuan menentang Thailand pada jam 3.15 petang di venue Stadium Juara, Bukit Kiara.

Latihan intensif bersama jurulatih dari Australia, Tracey Robinson dan pendedahan latihan di Melbourne dan Gold Coast mengukuhkan lagi persediaan negara menghadapi semua negara yang bertanding terutama Singapura.

Di atas kertas skuad yang diketuai Nur Syafazliyana Mohd Ali tidak berdepan masalah untuk menewaskan Thailand yang kali terakhir bertemu ketika Kejohanan Pra Sukan SEA bulan lalu.

Pengurus pasukan, Zaiton Abdul Ghani berkata, pemain kini cukup bermotivasi tinggi dan akan berjuang berhabis-habisan untuk merealisasikan impian menggapai emas.

"Semua pemain sudah bersedia dan hanya menunggu masa untuk beraksi. Doa dari semua rakyat Malaysia amat diperlukan untuk menebus kekecewaan dua tahun lalu di tangan Singapura.

"Saya tahu semua negara juga sudah mempersiapkan diri mereka seperti Brunei, Thailand dan Singapura. Tapi kita juga sudah bersedia. Apa yang pasti Malaysia akan berjuang untuk memburu emas," katanya.

Dua tahun lalu, skuad bola jaring negara tewas tipis kepada Singapura 43-46 pada perlawanan akhir dan kali terakhir bola jaring negara memenangi emas adalah pada 2001.

Bagaimanapun, gelaran juara Asia yang dipegang oleh Malaysia selepas kali terakhir memenanginya 1985 mampu menjadi tonik berharga di KL2017 kali ini.

Berita Harian X