Isnin, 14 Ogos 2017 | 5:27pm
BINTANG muda negara, Ameer Iman Fadzli. - Foto Owee Ah Chun

Ameer sudah sedia gegar trek ski Empire City

KUALA LUMPUR: Muncul selaku atlet paling muda luncur ais tidak menghadirkan gerun buat bintang muda negara, Ameer Iman Fadzli yang sedia membakar trek Empire City Damansara meskipun masih cetek pengalaman beraksi di temasya Sukan SEA.

Sebaliknya dia yang berusia 15 tahun mengakui dirinya begitu teruja untuk menandingi lawan yang lebih berpengalaman, selain yakin kuartet 3000 meter berganti-ganti negara mampu mencapai sasaran emas diletakkan pada temasya Sukan SEAKuala Lumpur 2017 (KL20170.

Keyakinan peluncur kelahiran Melaka itu bersandar pada kerja keras menjalani latihan selama 14 jam di Korea Selatan setiap hari dan juga hasil kejayaan meraih tempat keempat pada temasya Sukan Musim Sejuk Asia di Sapporo, Jepun, awal tahun ini.

"Latihan rapi di Korea Selatan sejak Disember lalu nyata membawa kelebihan kepada kami dan saya yakin 80 peratus pingat emas dalam acara 3000m berada dalam tangan kami.

"Cuma apa yang penting kami tidak boleh terlampau yakin kerana takut ia membawa kepada kesilapan pada hari pertandingan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Di Sukan SEA nanti, Ameer akan bergandingan bersama lagi tiga peluncur yang kini menjadi rebutan antara Ariff Rasydan, Wong Devin, Hazim Shahrum dan Khairil Ridhwan Khalil.

Apa yang menarik daripada kelima-lima atlet terbabit, Ameer muncul peluncur termuda, namun itu bukan alasan dirinya lebih tertekan ketika mengakui dia paling vokal dalam kuartet terbabit.

"Memang ada rasa tertekan tetapi bukan kerana faktor saya peluncur paling muda, sebaliknya ia kerana tekanan membawa nama Malaysia di belakang baju saya.

"Saya tak pernah fikirkan soal siapa paling senior dalam pasukan, apa yang penting bagi kami adalah kami sentiasa menghormati satu sama lain.

"Memang saya paling muda dalam pasukan tetapi sebenarnya saya paling kuat bersuara," katanya yang menangguhkan peperiksaan PT3 pada tahun ini.

Sukan luncur ais akan membuka tirai saingan bermula 25 hingga 30 Ogos ini di Empire City Mall.

Pasukan negara akan bersaing merebut lapan pingat emas - dua bagi kategori lelaki dan wanita dalam acara figure skating dan enam pingat lagi untuk short track di mana membabitkan kategori lelaki, wanita, 500 meter, 1,000 meter dan 3,000 meter berganti-ganti.

Berita Harian X