Isnin, 14 Ogos 2017 | 9:37pm
STADIUM Nasional Bukit Jalil. - Foto SAifullizan Tamadi

Pembukaan KL2017: MASOC nasihat hadir awal elak kesesakan

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang ingin menyaksikan upacara pembukaan Sukan SEA ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Ogos ini, digalakkan untuk tiba dua jam lebih awal bagi mengurangkan kesesakan di kawasan sekitar stadium.

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dalam kenyataan hari ini, berkata orang ramai turut digalakkan menggunakan kemudahan pengangkutan awam yang tersedia bagi membantu kelancaran trafik di kawasan stadium.

"Untuk makluman, pintu stadium akan dibuka seawal jam 4 petang, manakala program praacara pula akan bermula 6 petang sebelum upacara pembukaan berlangsung pada pukul 8 malam," menurut kenyataan itu.

MASOC berkata, pihak mereka bekerjasama dengan Prasarana dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat untuk mengambil beberapa inisiatif, antaranya melanjutkan operasi LRT Laluan Sri Petaling di Stesen Bukit Jalil sehingga 1 pagi.

"Perkhidmatan KTM Komuter juga akan dilanjutkan waktu dengan butiran sepenuhnya akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Bagi pengguna perkhidmatan bas pula, MASOC berkata, RapidKL akan menyediakan perkhidmatan bas khas dengan kekerapan 10 hingga 15 minit dari tujuh lokasi ke Stadium Nasional Bukit Jalil, iaitu di Terminal Jalan Reko, Kajang; Ampang Point, Ampang; Greenwood, Gombak; Hentian Bandar Shah Alam; Perhentian Bas KLCC; Platform C, Pasar Seni; dan di hadapan NU Sentral, KL Sentral.

"Perkhidmatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil bermula dari 5 petang hingga 8 malam, manakala perkhidmatan dari stadium akan beroperasi dari 10.30 malam hingga 1 pagi," menurut kenyataan itu.

Bagi memudahkan orang ramai menaiki perkhidmatan pengangkutan awam, MASOC berkata, 18,000 tempat letak kereta disediakan di rangkaian perkhidmatan rel di sepanjang laluan ke Bukit Jalil.

Bagi yang ingin menaiki kenderaan persendirian ke stadium pula, sebanyak 3,500 tempat letak kereta disediakan di kawasan Kelab Lumba Kuda Selangor yang akan dibuka bermula 3 petang, dan bayaran sebanyak RM5 dikenakan bagi setiap kereta.

"Perkhidmatan shuttle juga disediakan dengan kekerapan selang 10 minit untuk membawa orang ramai dari tempat letak kereta berkenaan ke kawasan stadium, dan tiada sebarang bayaran dikenakan," menurut kenyataan itu.

MASOC turut mengingatkan orang ramai upaya tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan di sekitar kawasan stadium bagi mengelakkan kenderaan mereka ditunda.

Bagi zon menurunkan penumpang awam, kawasan yang dibenarkan hanyalah di kawasan Arena Green Apartment dan kawasan berdekatan Stesen LRT Sri Petaling, serta di pintu masuk Kompleks Majlis Sukan Negara berdekatan Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"MASOC berharap orang ramai dapat merancang perjalanan masing-masing, khususnya untuk ke upacara pembukaan nanti serta dapat mematuhi panduan yang telah diberikan bagi mengelakkan sebarang kesesakan lalu lintas," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini di laman media sosial KL2017 - laman rasmi: http://kualalumpur2017.com.my; Facebook rasmi: Kuala Lumpur 2017; Twitter: @KL2017; Instagram: kualalumpur2017; dan Youtube: Kuala Lumpur 2017. - BERNAMA

Berita Harian X