Khamis, 17 Ogos 2017 | 5:58pm
PENGARAH Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (empat dari kanan) melawat bilik kawalan integrasi berita Sukan SEA 2017 di Majlis pelancaran 'Newsroom Integration Pilot SEA Games 2017' di Balai Berita NSTP, hari ini. - Foto Adi Safri
PENGARAH Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (empat dari kanan) melawat bilik kawalan integrasi berita Sukan SEA 2017 di Majlis pelancaran 'Newsroom Integration Pilot SEA Games 2017' di Balai Berita NSTP, hari ini. - Foto Adi Safri

NSTP lancar projek perintis integrasi berita

KUALA LUMPUR: Konglomerat media, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) terus mengorak langkah apabila melancarkan Projek Perintis Integrasi Bilik Berita sempena temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan membuka tirai secara rasminya, Sabtu ini.

Projek berkenaan membabitkan kerjasama Meja Sukan ketiga-tiga akhbar di bawah NSTP iaitu Berita Harian (BH), Harian Metro dan New Straits Times.

Tumpuan utama adalah penerbitan berita dalam talian yang mana wartawan daripada ketiga-tiga akhbar berkenaan bergabung membuat liputan di lapangan.

Keberkesanan projek ini akan dilihat menerusi liputan khas yang diberikan kepada temasya KL2017 yang berlangsung sehingga 30 Ogos ini, selain membolehkan ketiga-tiga akhbar memanfaatkan tenaga kerja dengan perancangan yang lebih rapi.

Ia turut membabitkan media elektronik di bawah Kumpulan Media Prima Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, berkata projek ini adalah langkah penting dalam usaha untuk beralih daripada syarikat berasaskan akhbar kepada penyedia kandungan masa nyata dan digital pelbagai platform.

"NSTP sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu menerusi projek perintis ini yang akan bermula dengan Meja Sukan. Hala tuju baharu NSTP adalah mengubah daripada media cetak kepada digital kerana ini adalah langkah penting untuk menjadi pendahulu penyedia kandungan berita

"Kerjasama ini bukan semata-mata untuk penjimatan kos tetapi adalah bagi memaksimumkan produktiviti dengan sumber yang ada," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan di Balai Berita di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid.

Sementara itu, Ketua Projek Perintis Integrasi Bilik Berita, Datuk Badrulhisham Othman yang mengetuai projek perintis ini, berkata perubahan daripada media cetak kepada digital ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah sedang mengalami perubahan di rantau ini dan seluruh dunia.

"Kita memulakan projek ini dengan liputan Sukan SEA dan perancangan mengenainya sudah dilakukan sejak awal Mei lalu.

"Kita akan menawarkan laporan berita yang menyeluruh dan pantas kepada pembaca dan projek ini membolehkan liputan lebih meluas dengan gandingan tenaga kerja membabitkan ketiga-tiga akhbar," katanya.

Berita Harian X