Khamis, 17 Ogos 2017 | 10:52pm
PERCIKAN bunga api ketika raptai penuh majlis pembukaan Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PERCIKAN bunga api ketika raptai penuh majlis pembukaan Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Upacara perasmian KL2017 rai perpaduan ASEAN

KUALA LUMPUR: Upacara pembukaan rasmi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Sabtu ini bakal menyuntik inspirasi dan terpahat di ingatan bagi meraikan perpaduan rantau Asia Tenggara, ikrar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, perarakan 11 bendera negara Sukan SEA akan bermula jam 8 malam, diikuti perarakan kontinjen dan atlet serta disusuli upacara mengibarkan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan KL2017.

"Bendera (SEAGF dan KL2017) akan dibawa masuk oleh bekas legenda sukan negara. Ia adalah penghormatan bagi mereka, mereka telah lama tidak membuat kemunculan," katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bandar Sukan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata jaguh silat Mohd Al-Jufferi Jamari, juara keirin dunia Mohd Azizulhasni Awang dan penerjun emas negara Cheong Jun Hoong, masing-masing akan membawa Jalur Gemilang.

PERCIKAN bunga api ketika raptai penuh majlis pembukaan Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PERCIKAN bunga api ketika raptai penuh majlis pembukaan Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kemudian upacara menaikkan bendera, diikuti ucapan alu-aluan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar dan Khairy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KL2017.

Pembukaan rasmi KL2017 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, diikuti upacara membaca ikrar atlet yang akan diketuai jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa.

Selepas upacara rasmi, tarikan utama adalah persembahan istimewa selama 20 minit akan disajikan khas untuk semua.

Beliau berkata persembahan dengan tema, Bangkit Bersama akan menyerlahkan perjalanan dan perpaduan yang dikecapi rakyat Asia Tenggara.

Pengunjung di stadium dan penonton di rumah bakal menikmati sajian persembahan istimewa, Terbaik Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60 Malaysia.

"Kami janjikan sesuatu yang berkesan, menggunakan teknologi terkini. Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini dan saya berharap orang ramai akan terhibur," katanya.

Beliau berkata, 6,000 orang terbabit dalam persembahan itu yang turut membabitkan penghibur, sukarelawan, kanak-kanak dan angkatan tentera.

Sementara itu, Khairy menggesa mereka yang menghadiri upacara pembukaan itu supaya tiba sekurang-kurangnya dua jam lebih awal bagi mengelakkan kesesakan di kawasan sekitar, memandangkan pintu stadium dibuka pada 4 petang.

Orang ramai juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam, terutama Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) kerana semua jalan sekitar Bandar Sukan Kuala Lumpur akan ditutup.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membawa objek terlarang bagi mengelakkan komplikasi kerana pemeriksaan akan dilakukan sebelum memasuki stadium. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X