Selasa, 22 Ogos 2017 | 6:51pm
PENINJU Malaysia, Adli Hafidz Mohd Pauzi (kiri) menewaskan peninju Singapura, Muhammad Dinie Hakeem dan layak ke pusingan akhir pada acara tinju kategori 81kg lelaki Sukan SEA KL2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENINJU Malaysia, Adli Hafidz Mohd Pauzi (kiri) menewaskan peninju Singapura, Muhammad Dinie Hakeem dan layak ke pusingan akhir pada acara tinju kategori 81kg lelaki Sukan SEA KL2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Adli semakin yakin

KUALA LUMPUR: Peninju negara Adli Hafidz Mohd Pauzi mencatat sejarah apabila layak ke perlawanan akhir kategori Light Heavyweight (81 kilogram) selepas menewaskan peninju Singapura, Muhammad Dinie Hakeem.

Walaupun kali pertama menyertai Sukan SEA, Adli langsung tidak gugup dan menunjukkan aksi cemerlang menundukkan lawan yang lebih berpengalaman.

Adli yang bermula garang sebaik pusingan pertama berkata, dia berjaya mengawal rentak sehingga menyukarkan Muhammad Dinie melakukan serangan.

Bagaimanapun katanya, perlawanan hari ini lebih mudah berbanding semalam dan semua taktikal dan strategi yang dirancang berjalan lancar.

"Saya pernah bertarung dengan Muhammad Dinie sebelum ini tetapi persembahannya ada sedikit perbezaan, terutamanya gerakan kaki yang lebih cepat sehingga saya terkena beberapa tumbukan tepat.

"Tapi itu tidak menjadi masalah, setiap serangan lawan saya balas dengan dua hingga tiga tumbukan bertalu-talu untuk memberikan mata," katanya.

Adli berkata, dia akan melakukan yang terbaik untuk peringkat akhir nanti dan akan berbincang dengan jurulatih mengenai strategi yang akan digunakan Khamis ini.

"Saya perlu perbaiki permainan terutamanya memperbanyakkan lagi tumbukan serta memfokuskan kelajuan dan ketepatan," katanya.

Jurulatih negara, Azmi Yunos berkata, dua peninju negara yang layak ke pusingan akhir berpeluang untuk memenangi pingat emas.

Katanya, semangat kedua-dua peninju negara berada pada tahap terbaik ketika ini dengan sokongan padu daripada penyokong yang hadir di dewan ini.

"Pada peringkat ini, peluang menang pingat emas ada, tetapi ia bergantung kepada peninju itu sendiri, mereka perlu terus fokus dan berjuang habis-habisan untuk mencapai kejayaan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peninju negara dalam kategori middleweight (75kg) R Indran gagal ke pusingan akhir selepas tewas kepada peninju Filipina, Eumir Felix Marcial.

Menurut Azmi, peninju muda negara itu sememangnya diketahui masih belum berada di tahap terbaik untuk menjadi pencabar kategori berkenaan kerana kurang berpengalaman.

Namun, katanya persembahan Indran dalam temasya Sukan SEA ini masih boleh dibanggakan kerana layak ke pusingan separuh akhir.

"Walaupun dia tewas secara TKO, dia menunjukkan potensi untuk maju dan menjadi pencabar dalam kategori itu di masa akan datang," katanya.

Berita Harian X