Selasa, 22 Ogos 2017 | 7:21pm
(DARI kiri) Nor Nabila Natasha Mohd Nazri, Nurul Shazwanie Mohd Saad, Muhammad Syafie Ali, Muhammad Fauzi Kaman Shah dan Israr Hazim Ismail meraikan kemenangan mereka dalam kategori Optimist Berpasukan acara perahu layar di Langkawi, petang tadi. - Foto Amran Hamid
(DARI kiri) Nor Nabila Natasha Mohd Nazri, Nurul Shazwanie Mohd Saad, Muhammad Syafie Ali, Muhammad Fauzi Kaman Shah dan Israr Hazim Ismail meraikan kemenangan mereka dalam kategori Optimist Berpasukan acara perahu layar di Langkawi, petang tadi. - Foto Amran Hamid

Emas optimist berpasukan milik Malaysia

LANGKAWI: Malaysia mengulangi kejayaan di Sukan SEA Singapura 2015 apabila berjaya memenangi pingat emas kategori Optimist Berpasukan acara perahu layar di sini, petang tadi.

Kemenangan diperoleh barisan pelayar muda Israr Hazim Ismail, Muhammad Syafie Ali, Muhammad Fauzi Kaman Shah, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri dan Nurul Shazwanie Mohd Saad selepas menewaskan Thailand 2-1 dalam pertandingan akhir.

Kejayaan ini sedikit sebanyak mengubati kedukaan pasukan negara yang terlepas peluang meraih emas dalam kategori Laser Standard Berpasukan dan Laser Radial Berpasukan.

Dalam kategori Laser Standard Berpasukan, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada Singapura 0-2 dalam pertandingan akhir, sementara pingat gangsa dimenangi Thailand.

Perjuangan pelayar negara dalam Laser Radial Berpasukan berakhir dengan pingat gangsa sahaja setelah tewas kepada Thailand dan Singapura di peringkat round robin yang menyaksikan hanya tiga negara itu bertanding.

Thailand kemudian menewaskan Singapura 2-0 dalam saingan merebut pingat emas untuk kategori itu.

Selain kategori berpasukan, 11 lagi pingat emas masih menjadi buruan untuk acara pelayaran Sukan SEA kali ini yang berlangsung sehingga 29 Ogos.

Perlumbaan pusingan awal untuk kategori International 470 dan International 420 lelaki dan wanita turut bermula hari ini dan peringkat akhir akan diadakan pada 27 Ogos ini.

Kedua-dua kategori ini membabitkan penyertaan 20 atlet dari enam negara.

Dua belas atlet akan beraksi untuk kategori luncur layar lelaki dan wanita bermula esok dan berlangsung sehingga 28 Ogos ini.

Lima lagi kategori acara layar individu akan dipertandingkan bermula Khamis sehingga 29 Ogos ini adalah Optimist Lelaki, Optimist Wanita, Laser Standard, Laser Radial Lelaki dan Laser Radial Wanita. - BERNAMA

PELAYAR negara beraksi dalam kategori Optimist Berpasukan acara perahu layar menentang Thailand di Langkawi, sebentar tadi. - Foto Amran Hamid
PELAYAR negara beraksi dalam kategori Optimist Berpasukan acara perahu layar menentang Thailand di Langkawi, sebentar tadi. - Foto Amran Hamid

Berita Harian X