Rabu, 23 Ogos 2017 | 4:52pm
FARAH Ann memenangi pingat emas dan idam tiga kek berlainan perisa bagi menyambut kemenangannya selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara senaman lantai di temasya Sukan SEA 2017, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KL2017: Farah Ann mengidam tiga kek

KUALA LUMPUR: Tiga biji kek dengan tiga perasa berlainan menyambut kemenangan atlet gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara senaman lantai di temasya Sukan SEA 2017, hari ini.

Jelas atlet berusia 23 tahun itu, dia terlalu mengidamkan tiga jenis perasa kek dan terus menghubungi kakaknya untuk mendapatkan kek bagi menikmati kejayaan merangkul dua pingat emas buat kontinjen negara dengan sesuatu yang manis.

"Selepas meraih pingat emas, saya mahukan sesuatu yang manis untuk dinikmati bersama rakan sepasukan. Jadi, saya meminta kakak mendapatkan kek 'Chocolate Indulgence', 'White Chocolate Macadamia' dan juga 'New York Cheese.'

"Selepas menikmati kek ini, saya mahu melupakan seketika aktiviti di gelanggang.

"Saya mahu menghabiskan masa bersama keluarga dengan bercuti sebelum memikirkan semula perancangan selepas ini," katanya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Farah mempertahankan pingat emas selepas mengutip 13.450 mata, jauh meninggalkan atlet Filipina, Kaitlin Cera Lianne (13.025 mata) untuk pingat perak sementara atlet Indonesia, Rifda Irfanaluthfi meraih pingat gangsa (13.000 mata).

Ini adalah emas kedua yang diraih Farah Ann selepas merangkul emas dalam acara gimnastik artistik berpasukan sebelum ini.

Mengulas lanjut persembahan emasnya itu, Farah Ann yang memiliki ketinggian 165 meter gembira selepas berjaya memperagakan persembahan yang terbaik meskipun sedikit terganggu dengan kecederaan yang dialaminya.

"Tetapi saya berada dalam keadaan yang terbaik kerana ketika memasuki gelanggang, kita sudah tidak menghiraukan perkara yang lain kerana apa yang penting, kita menetapkan fokus mencapai sasaran kita.

"Memang begitu manis kerana saya mempertahankan pingat emas, apatah lagi hadapan penyokong sendiri. Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kejayaan atlet gimnastik artistik pada temasya kali ini," katanya.

Berita Harian X