Khamis, 24 Ogos 2017 | 12:02pm
PEMAIN Malaysia, Sanjay Singh Cha (dua dari kanan), S Sivasangari (kanan) memenangi pingat emas manakala rakan senegara Ryan Neville Pasqual (kiri) dan Andrea Neville Jia Qi raih pingat perak pada final squash campuran di Pusat Squash Negara. - Foto Yazit Razali

KL2017: Sanjay-Sivasangari rangkul emas beregu campuran skuasy

KUALA LUMPUR: Sanjay Singh Chal sepatutnya menyerlah selepas memenangi pingat emas perseorangan lelaki skuasy pada temasya Sukan SEA Singapura 2015, namun kecederaan merencatkan perkembangannya.

Pemain kelahiran Sarawak itu menyaksikan rankingnya merudum dari tangga ke-110 dunia pada September 2015 kepada ranking semasa 167.

Namun kini dengan kemenangan dalam beregu campuran bersama S Sivasangari di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini, hari ini, dia berpeluang merealisasikan potensi dipamerkannya dua tahun lalu.

Sanjay-Sivasangari bersaing hebat pada final menentang rakan sepasukan Ryan Pasqual-Andrea Lee sebelum menang 11-9, 11-10 bagi emas ketiga Malaysia dalam sukan skuasy selepas kejayaan beregu lelaki dan wanita semalam.

Bagi Sanjay, kemenangan beregu campuran menebus kekecewaannya tidak terpilih sebagai pemain perseorangan yang direbut Ng Eain Yow dan Syafiq Kamal.

"Saya tidak kecewa terlepas aksi perseorangan," kata Sanjay, 23, yang turut menang emas berpasukan pada 2015. "Saya mengalami kecederaan sepanjang tahun jadi Eain Yow dan Syafiq berjaya mengatasi saya.

"Saya terpaksa terima hakikat mereka lebih baik berbanding saya. Saya akan cuba kembali sebagus mungkin.

"Meraih emas dalam beregu campuran bermakna saya sudah menang tiga dalam perseorangan, beregu dan berpasukan. Saya harap boleh bermain lebih banyak acara tapi satu sudah cukup buat saya."

Sivasangari, 18, mengalih tumpuannya kepada acara perseorangan wanita bermula esok ketika pilihan utama dan rakan sepasukan Rachel Arnold dan Jemyca Aribado dari Filipina menjadi pencabar utamanya bagi merebut emas.

"Saya sudah mendapat satu emas dan ia memberikan saya keyakinan untuk beraksi dalam perseorangan," kata Sivasangari, pemain nombor 61 dunia.

"Tidak mudah kerana ada Rachel. Sasaran saya mahu menang, tidak terlalu yakin dan tertekan sebaliknya hanya melakukan yang terbaik."

Berita Harian X