Khamis, 24 Ogos 2017 | 6:52pm
PENINJU Malaysia, Muhamad Fuad M. Redzuan (tengah) memenangi pingat emas acara tinju kategori 49kg lelaki akhir, Adli Hafidz Mohd Pauzi (kiri) memenangi pingat perak acara tinju kategori 81kg lelaki akhir dan R. Indran memenangi pingat gangsa acara tinju kategori kategori 75kg akhir Sukan SEA KL2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENINJU Malaysia, Muhamad Fuad M. Redzuan (tengah) memenangi pingat emas acara tinju kategori 49kg lelaki akhir, Adli Hafidz Mohd Pauzi (kiri) memenangi pingat perak acara tinju kategori 81kg lelaki akhir dan R. Indran memenangi pingat gangsa acara tinju kategori kategori 75kg akhir Sukan SEA KL2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KL2017: Tumbukan emas Fuad

KUALA LUMPUR: Kemarau pingat emas dalam sukan tinju Sukan SEA berakhir apabila peninju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan berjaya merangkul pingat emas menerusi kategori light fly (49 kilogram), hari ini.

Turut menceriakan pasukan tinju negara apabila seorang lagi peninju, Adli Hafidz Mohd Pauzi mengutip pingat perak pada hari terakhir sukan berkenaan.

Muhamad Fuad yang menentang peninju Thailand, Thani Narinram mencipta sejarah berikutan kategori itu belum pernah dimenangi peninju negara sepanjang penganjuran Sukan SEA.

Menurut Muhamad Fuad, dalam aksi sulungnya dalam pertarungan akhir itu, dia menggunakan strategi lebih agresif dengan mempamerkan corak menyerang terhadap lawannya untuk mengutip mata seawal pusingan pertama.

Muhamad Fuad yang sudah menyertai lima edisi Sukan SEA sejak 2009 berkata, lawannya dari Thailand itu ternyata gagal membaca gerakannya yang berbeza dengan aksi lebih bertahan dan melakukan serangan balas, sebelum ini.

"Ini adalah kejayaan paling manis untuk saya dan keluarga selepas lapan tahun dan kemenangan ini juga tercipta di tanah air sendiri.

"Sejak menyertai Sukan SEA 2009, saya kerap mendapat undian untuk bertemu peninju pilihan, terutamanya dari Filipina dan Thailand namun kali ini saya berjaya mengatasi mereka dan ini semua berkat sokongan kuat dari penyokong negara," katanya.

Menurut Muhamad Fuad, beliau sangat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya ketua jurulatih yang memberikan kepercayaan dan sokongan untuk meningkatkan lagi prestasi sehingga mencapai kejayaan ini.

"Ketua jurulatih negara, Azmi Md Yunos menjadi individu penting sepanjang karier saya, dia mendidik saya sejak usia 18 tahun.

"Ini adalah kali pertama Malaysia memenangi pingat emas dalam kategori ini. Saya hadiahkan pingat ini untuk jurulatih, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Adli Hafidz mengalami nasib berbeza selepas tewas kepada peninju Filipina, Marvin John Nobel Tupas dalam acara akhir kategori Light Heavyweight (81kg).

Adli Hafidz yang pertama kali menyertai Sukan SEA bagi kategori berat badan itu gagal menghadang tumbukan bertubi-tubi lawan sehingga pengadil terpaksa menghentikan perlawanan seketika.

Bagaimanapun, sebaik pertarungan disambung, Marvin sekali lagi bertindak agresif dengan menyerang Adli memaksa pengadil membuat keputusan untuk mengisytiharkan kemenangan kepada peninju Filipina itu.

Adli Hafidz berkata, dia tetap bersyukur kerana mampu menghadiahkan pingat perak kepada negara dalam percubaan pertamanya di Sukan SEA.

Katanya, kekalahan di pentas akhir itu tidak melemahkan semangatnya dan mahu menyertai Sukan SEA akan datang sekiranya diberi peluang dan kepercayaan.

"Ia berlaku begitu pantas, saya belum bersedia dan pengadil belum tekan loceng tetapi dia dah ada di depan saya (melakukan serangan). Saya tak tahu kenapa, tak tahu apa yang terjadi.

"Tetapi saya tetap berpuas hati memandangkan ini adalah Sukan SEA pertama saya. Alhamdulillah, syukur kerana mendapat perak dan saya anggap ini rezeki anak saya yang baru lahir," katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad tinju negara pada temasya dwitahunan itu adalah meraih dua emas di Laos 2009 menerusi Muhamad Farkhan Mohd Haron (75kg) dan Muhd Fairus Azwa (81kg).

Berita Harian X