Khamis, 24 Ogos 2017 | 10:07pm
PELAYAR negara, Nur Shazrin Mohamad Latif (depan) ketika beraksi dalam kategori Laser Radial Wanita pada Sukan SEA 2017 di Perairan Kuah Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaa..- Foto BERNAMA
PELAYAR negara, Nur Shazrin Mohamad Latif (depan) ketika beraksi dalam kategori Laser Radial Wanita pada Sukan SEA 2017 di Perairan Kuah Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaa..- Foto BERNAMA

KL2017: Pelayar negara hampiri empat emas

LANGKAWI: Malaysia semakin hampir untuk menggenggam empat lagi pingat emas dari acara pelayaran berikutan persembahan memberangsangkan pelayar negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan, di sini.

Kilauan emas ini mulai bersinar dalam kategori Antarabangsa 420 Lelaki dan Antarabangsa 470 lelaki yang diterajui Malaysia selepas berakhirnya enam perlumbaan hari ini.

Gandingan Muhamad Uzair Amin Mohd Yusof dan Naquib Eiman Shahrin menduduki tangga teratas Antarabangsa 420 dengan memenangi kesemua perlumbaan mereka dengan mengutip lima mata penalti.

Pencabar terdekat, pasangan Koh Yi Nian dan Wong Riji dari Singapura mengutip 11 mata penalti, diikuti gandingan Thailand, Nopphorn Booncherd dan Suthon Yampinid dengan 13 mata penalti.

Pelayar yang memperoleh mata penalti terendah akan merangkul emas.

Dengan hanya berbaki empat perlumbaan untuk diharungi dalam tempoh dua hari ini, peluang amat cerah untuk Muhammad Uzair dan Naguib mengulangi kejayaan menjuarai kategori itu di Sukan SEA ke-28 di Singapura, dua tahun lalu.

SEBAHAGIAN atlet pelayaran negara melakukan persiapan.- Foto BERNAMA
SEBAHAGIAN atlet pelayaran negara melakukan persiapan.- Foto BERNAMA

Peluang untuk meraih emas turut cerah bagi gandingan Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz yang kini mendahului kategori Antarabangsa 470 dengan sembilan mata penalti selepas enam perlumbaan.

Namun mereka dicabar hebat gandingan Filipina, Lester Troy Tayong/ Emerson Villena, yang hanya ketinggalan satu mata penalti sahaja selepas memenangi perlumbaan keenam hari ini.

Pasangan Thailand, Navee Thamsoontorm/ Nut Butmarasri dan wakil Singapura, Xavier Ng Yaojun/ Daniel Ian Toh turut berpeluang menafikan hajat pelayar negara pada baki empat perlumbaan yang akan diadakan esok dan lusa.

Harapan emas juga dicetuskan seorang lagi pelayar negara, Ahmad Latif Khan, yang bermula cemerlang dalam aksi Laser Radial lelaki dengan memenangi kedua-dua perlumbaan hari ini, untuk menduduki tangga teratas dengan dua mata penalti.

Nur Shazrin Mohamad Latif pula mengakhiri dua perlumbaannya dalam kategori Laser Radial wanita dengan berkongsi kedudukan teratas dengan pelayar Singapura, Jillian Lee Sook Yin selepas mereka terikat dengan tiga mata penalti.

Sementara itu, dua pelayar remaja negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah dan Nurul Shazwanie Mohd Saad, yang menyumbang pingat emas pertama Malaysia melalui kategori Optimist berpasukan dua hari lalu, mengakhiri acara individu masing-masing hari ini dengan berada di tempat teratas.

Muhammad Fauzi, yang juga pemenang pingat emas kategori Optimist individu lelaki di Sukan SEA lalu, mengumpul tiga mata penalti untuk berada satu mata di atas pencabar terdekatnya, Panwa Boonnak dari Thailand.

Nurul Shazwanie pula memperoleh tiga mata penalti hasil dua perlumbaan untuk berada dalam kedudukan teratas Optimist Individu wanita, mendahului tiga pelayar lain dalam kategori itu. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X