Jumaat, 25 Ogos 2017 | 12:15pm
PELAYAR negara, Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz beraksi dalam saingan kategori antarabangsa 470 lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi. - Foto Amran Hamid
PELAYAR negara, Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz beraksi dalam saingan kategori antarabangsa 470 lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi. - Foto Amran Hamid

KL2017: 11 kategori perlumbaan awal pelayaran hari ini

LANGKAWI: Acara pelayaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang memasuki hari kelima hari ini, diteruskan dengan perlumbaan awal 11 kategori di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini.

Menjadi tumpuan hari ini pastinya perlumbaan ketujuh dan kelapan kategori Antarabangsa 470 Lelaki dan Antarabangsa 420 Lelaki yang dilihat mampu membuahkan harapan emas buat negara, susulan aksi cemerlang dipamerkan pelayar negara melalui enam perlumbaan sebelum ini.

Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz yang mendahului kategori Antarabangsa 470 dengan sembilan mata penalti, perlu memastikan mereka kekal di kedudukan teratas memandangkan hanya satu mata penalti yang memisahkan mereka dengan pencabar Filipina, Lester Troy Tayong/ Emerson Villena.

Dalam kategori Antarabangsa 420 Lelaki, gandingan Muhamad Uzair Amin Mohd Yusof dan Naquib Eiman Shahrin, yang kekal mendahului dalam enam perlumbaan dengan enam mata penalti sebelum ini, turut dilihat mempunyai peluang cerah menyumbang emas selepas meninggalkan Koh Yi Nian/Wong Riji dari Singapura yang kini mempunyai 14 mata penalti, dan pelayar Thailand, Nopphorn Booncherd/Suthon Yampinid dengan 19 mata penalti.

Gandingan Nur Aishah Kovo Mohd Yusri dan Nurul Izzryn Shamsul Ariffin dalam kategori Antarabangsa 420 Wanita pula berpeluang memperbaiki kedudukan hari ini setelah hanya memperoleh 14 mata penalti melalui enam perlumbaan sebelum ini, ketinggalan enam mata di belakang Thailand dan Singapura.

Perlumbaan ketiga dan keempat hari ini pula membabitkan kategori Optimist Lelaki dan Optimist Wanita, Laser Standard, Laser Radial Lelaki, Laser Radial Wanita, manakala perlumbaan kelima dan keenam adalah bagi kategori Windsurfing RS One Lelaki dan Windsurfing RS One Wanita.

Sama seperti semalam, perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pukul 10.30 pagi ini ditunda pada sebelah petang berikutan ketiadaan angin.

Seramai 22 atlet pelayaran negara mengambil bahagian dalam 14 kategori yang dipertandingkan dalam temasya kali ini.

Setakat ini, emas pertama acara itu disumbangkan melalui kategori Optimist Berpasukan manakala kategori Laser Standard Berpasukan menyumbang perak dan Laser Radial Berpasukan sekadar pingat gangsa.

Sukan SEA Ke-28 dua tahun lalu di Singapura menyaksikan pasukan pelayaran negara menyumbang tujuh pingat emas, lima perak dan dua gangsa, menjadikannya rekod terbaik setakat ini bagi sukan berkenaan dalam temasya dwitahunan itu.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X