Jumaat, 25 Ogos 2017 | 10:35pm
ATLET pelayar negara, Muhammad Uzair Amin Mohd Yusof bersama Naquib Eiman Shahrin (kanan) ketika beraksi dalam sarigan kategori Antarabangsa 420 lelaki pada di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan, Kuah. - Foto Amran Hamid
ATLET pelayar negara, Muhammad Uzair Amin Mohd Yusof bersama Naquib Eiman Shahrin (kanan) ketika beraksi dalam sarigan kategori Antarabangsa 420 lelaki pada di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan, Kuah. - Foto Amran Hamid

KL2017: Pelayar negara kekal momentum emas

LANGKAWI: Pelayar negara meneruskan rentak kecemerlangan dalam cabaran hari kelima acara pelayaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini, apabila terus mengungguli beberapa kategori bagi acara itu.

Menepati ramalan, kategori Antarabangsa 420 lelaki menyaksikan gandingan Muhammad Uzair Amin Mohd Yusof dan Naquib Eiman Shahrin mendahului empat pasangan pelayar lain bagi kategori itu dalam lapan perlumbaan berturut-turut, dengan memperoleh lapan mata penalti sehingga hari ini.

Pemenang Sukan SEA Singapura dua tahun lalu itu meninggalkan pencabar terdekat, Koh Yi Nian/Wong Riji dari Singapura di tangga kedua dengan 17 mata penalti dan pelayar Thailand, Suthon Yampinid/Nopphorn Booncherd dengan 19 mata penalti.

Bagi kategori Antarabangsa 470 lelaki, gandingan Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz berada di kedudukan selesa dengan 14 mata penalti selepas melalui lapan perlumbaan, kelebihan lapan mata penalti di hadapan pelayar Thailand, Navee Thamsoontorm/Nut Butrmarasri, manakala pelayar Filipina Emerson Vilenia/Lester Troy Tayong di tempat ketiga dengan 26 mata penalti.

Pelayar negara, Ahmad Latif Khan yang turut cemerlang dalam aksi Laser Radial lelaki dalam dua perlumbaan awal, turut menduduki tangga teratas walaupun hanya memenangi satu daripada dua perlumbaan dengan memperoleh lima mata penalti hari ini.

Beliau yang pertama kali beraksi dalam acara berkenaan pada temasya kali ini bagaimanapun perlu berwaspada dengan pencabar terdekatnya dari Singapura, Bernie Chin Cheok Khoon yang kini berada di tangga kedua dengan sembilan mata penalti dan pelayar Thailand, Apiwat Sringam dengan 11 mata penalti.

Namun dalam acara Laser Radial wanita, pelayar wanita pertama di Olimpik, Nur Shazrin Mohamad Latif perlu memperbaiki kedudukannya esok dalam perlumbaan kelima dan keenam apabila merosot ke tempat kedua dengan lapan mata penalti, walaupun berkongsi kedudukan teratas dengan pelayar Singapura, Jillian Lee Sook Yin selepas mereka terikat dengan tiga mata penalti, sebelum ini.

Jillian kini berada di tangga teratas dengan lima mata penalti manakala pelayar Thailand, Kanapan Pachatikapanya mengekalkan kedudukan di tangga ketiga apabila memperoleh 12 mata penalti.

Dua pelayar remaja negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah dan Nurul Shazwanie Mohd Saad, yang menyumbang pingat emas pertama negara melalui kategori Optimist berpasukan tiga hari lalu, turut mengakhiri acara individu masing-masing dengan berada di tempat teratas, apabila masing-masing memperoleh enam dan lima mata penalti setelah berakhir empat perlumbaan.

Muhammad Fauzi yang juga pemenang pingat emas kategori Optimist individu lelaki di Sukan SEA lalu, mengumpul enam mata penalti untuk berada satu mata lebih baik daripada pencabar terdekatnya, Panwa Boonnak dari Thailand.

Nurul Shazwanie pula memperoleh lima mata penalti hasil daripada empat perlumbaan untuk berada dalam kedudukan teratas Optimist Individu wanita, mendahului tiga pelayar lain dalam kategori itu.

Setakat ini, emas pertama acara itu disumbangkan melalui kategori Optimist berpasukan manakala kategori Laser Standard berpasukan menyumbang perak dan Laser Radial berpasukan sekadar pingat gangsa.

Seramai 22 pelayar negara mengambil bahagian dalam 14 kategori yang dipertandingkan dalam temasya kali ini. - BERNAMA

Berita Harian X