Sabtu, 26 Ogos 2017 | 12:24pm
ATLET pelayar negara, Mohamad Faizal Norizan bersama Ahmad Syukri Abdul Aziz (kanan) ketika beraksi dalam sarigan kategori ANTARABANGSA 470 (lelaki) pada Sukan SEA KL2017 di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan, Kuah. - Foto Amran Hamid
ATLET pelayar negara, Mohamad Faizal Norizan bersama Ahmad Syukri Abdul Aziz (kanan) ketika beraksi dalam sarigan kategori ANTARABANGSA 470 (lelaki) pada Sukan SEA KL2017 di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan, Kuah. - Foto Amran Hamid

KL2017: 2 emas dijangka dari pelayaran esok

LANGKAWI: Pelayar negara dalam kategori Antarabangsa 420 Lelaki dan Antarabangsa 470 Lelaki perlu mengekalkan kemenangan dalam dua perlumbaan hari ini bagi mengesahkan dua emas menjadi milik Malaysia.

Dua perlumbaan penentuan pingat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu akan berlangsung esok di venue sama di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini.

Sebenarnya kemenangan lapan kali berturut-turut dalam lapan perlumbaan dicatatkan gandingan Muhammad Uzair Amin Mohd Yusof dan Naquib Eiman Shahrin dalam kategori Antarabangsa 420 Lelaki sudah hampir memastikan emas dalam tangan mereka.

Ini berikutan kejayaan gandingan itu yang meninggalkan jauh pelayar Singapura, Koh Yi Nian/Wong Riji dengan 22 mata penalti, dan pelayar Thailand Suthon Yampinid/Nopphorn Booncherd dengan 25 mata penalti setakat semalam.

Sekiranya mereka berjaya mengungguli perlumbaan kesembilan dan ke-10 hari ini, mereka mempunyai peluang cerah mengulangi kejayaan menjuarai kategori itu pada Sukan SEA ke-28 di Singapura, dua tahun lalu.

Begitu juga dengan gandingan Mohamamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz yang ketika ini mendahului lima gandingan pelayar lain dalam kategori Antarabangsa 470 Lelaki apabila berjaya memperoleh 14 mata penalti setakat ini.

Mereka meninggalkan pelayar Thailand, Navee Thamsoontorm/Nut Butmarasri yang kini memperoleh 22 mata penalti dan Emerson Villena/Lester Troy Tayong daripada Filipina dengan 26 mata penalti.

Perlumbaan kelima dan keenam hari ini pula membabitkan kategori Optimist Wanita dan Optimist Lelaki, Laser Standard, Laser Radial Lelaki dan Laser Radial Wanita manakala perlumbaan ketujuh dan kelapan membabitkan kategori Windsurfing RS One Lelaki dan Windsurfing RS One Wanita.

Esok, perlumbaan penentuan pingat akan membabitkan kategori Antarabangsa 420 Lelaki, Antarabangsa 420 Wanita, Antarabangsa 470 Lelaki dan Antarabangsa 470 Wanita.

Setakat ini, emas pertama negara acara itu disumbangkan melalui kategori Optimist berpasukan manakala kategori Laser Standard berpasukan menyumbang perak dan Laser Radial berpasukan sekadar pingat gangsa.

Seramai 22 pelayar negara mengambil bahagian dalam 14 kategori yang dipertandingkan dalam acara tersebut yang dijadual berlangsung sehingga 29 Ogos ini.

-- BERNAMA

Berita Harian X