Isnin, 28 Ogos 2017 | 5:58pm
GIMNAS negara, Izzah Amzan beraksi dalam acara bola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto Muhd Zaaba Zakeria
GIMNAS negara, Izzah Amzan beraksi dalam acara bola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KL2017: Izzah lakar kejutan emas aparatus bola

KUALA LUMPUR: Kecederaan belakang, bahu dan lutut yang membelenggu dirinya tidak menghalang Izzah Amzan untuk menghadiahkan emas kepada negara dalam acara gimrama menerusi aparatus bola.

Bagaimanapun atlet kelahiran Pahang itu mengakui dia gementar untuk beraksi pada penampilan pertamanya di temasya Sukan SEA dan di depan penyokong sendiri.

Izzah berkata, dia bersyukur kerana tidak terganggu dengan kesakitan ketika membuat persembahan, selain berjaya mengawal tekanan itu apabila mempraktikkan apa yang dipelajarinya sebelum ini.

"Alhamdulillah saya dapat mengatasi semua cabaran yang datang. Gembira dan seronok. Biarpun kecederaan itu mula rasa sakit selepas tamatnya acara ini.

GIMNAS negara, Izzah Amzan memenangi pingat emas dalam acara aparatus bola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto Muhd Zaaba Zakeria
GIMNAS negara, Izzah Amzan memenangi pingat emas dalam acara aparatus bola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

"Saya ingin dedikasikan emas ini kepada ibu saya yang banyak berkorban dan bertanggungjawab menjadi saya seperti hari ini," katanya.

Izzah melakar kejutan apabila menewaskan gimnas pilihan iaitu rakan senegara, Koi Sie Yan untuk meraih emas dalam acara bola, selepas mengumpul 15.6 mata manakala Sie Yan 15.050 mata di tempat kedua manakala gangsa milik gimnas Indonesia, Nabila Evandestiera, 13.950 mata.

Sementara itu acara berpasukan menerusi aparatus campuran bola dan tali melengkapkan kejayaan kem gimrama negara.

Skuad negara dibarisi Amira Sofiya Amirul Fares, Chan Mei Thung, Koh Jei Yi, Tee Wei Qi, Tee Wei Wen, dan Thew Yue Jia mengumpul 15.350 mata, menewaskan barisan gimnas Vietnam 13.650 mata dan gangsa milik Singapura 11.450 mata.

Berita Harian X