Isnin, 28 Ogos 2017 | 11:19pm
PELUMBA trek negara, Azizulhasni Awang meraikan kemenangan selepas menewaskan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sharom dalam acara pecut individu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Velodrom Nasional, Nilai. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PELUMBA trek negara, Azizulhasni Awang meraikan kemenangan selepas menewaskan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sharom dalam acara pecut individu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Velodrom Nasional, Nilai. - Foto Iqmal Haqim Rosman

'Seolah-olah beraksi di Olimpik'

NILAI: Pelumba trek negara, Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat emas ke-111 negara di Velodrom Nasional, Nilai, sekali gus menepati sasaran yang diletakkan kontinjen negara bagi memungkinkan negara muncul juara keseluruhan pada edisi ke-29 temasya Sukan SEA 2017 ini.

The Pocket Rocketman yang juga pembawa Jalur Gemilang negara ketika majlis pembukaan Sukan SEA menghadiahkan emas keramat negara menerusi acara pecut individu dengan menewaskan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sharom dalam kedua-dua pusingan final pecut individu lelaki.

"Kejayaan memenangi emas ke-111 untuk Malaysia adalah satu kenangan dan memori yang indah untuk saya sebagai atlet negara. Malah ia juga Sukan SEA terakhir saya.

"Walaupun menang di Kejohanan Dunia, kejayaan di sini, di hadapan penyokong sendiri termasuk keluarga amat berbeza. Ia seolah-olah seperti beraksi di Olimpik," kata Azizulhasni.

Mengulas mengenai insiden terjatuh ketika aksi separuh akhir kedua, Azizulhasni berkata, ia adalah kerana trek yang masih baharu dan licin.

"Saya mengalami sedikit kecederaan siku dan koyak pakaian namun beri fokus dan menafikan saingan sengit Shah Firdaus," katanya.

Tambahnya, ia adalah emas pertama individu selepas 10 tahun lalu hanya memenangi acara pecut berpasukan.

Juara bertahan, Thailand yang juga pesaing utama negara mengekori di tempat kedua dalam senarai pungutan pingat dengan kini mengumpul 60 emas.

Dengan dua hari temasya akan melabuhkan tirainya, tinggal 67 emas saja lagi menjadi taruhan dan mustahil bagi mana-mana negara lain memintas kedudukan Malaysia setakat ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini meletakkan sasaran 111 pingat emas yang mana menyamai pungutan emas keseluruhan yang diperoleh kontinjen negara ketika kali terakhir muncul juara keseluruhan ketika menjadi tuan rumah pada 2001.

Kontinjen negara menghantar 844 atlet bagi muncul kontinjen terbesar dalam temasya kali ini yang mempertaruhkan 404 pingat emas keseluruhan.

Terdahulu, Fatehah Mustapa menghadiahkan pingat emas ke-110 apabila menundukkan rakan senegara, Farina Shawati Mohd Adnan dalam kedua-dua pusingan final acara pecut wanita.

Tuaian emas Malaysia di velodrom pada hari kedua acara trek bermula menerusi Eiman Firdaus Mohd Zamri yang mengesahkan emas apabila menewaskan Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff di pentas final dalam acara 4km kejar mengejar individu dengan masa 4 minit 33.863s.

Berita Harian X